Mahkamah Majistret Sungai Petani hari ini membenarkan tahanan reman ke atas empat suspek kejadian kes buli di Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari di sini pada Ahad lalu.

Perintah reman dikeluarkan oleh penolong pendaftar mahkamah, Balkis Abdul Halim pagi ini.

Empat suspek berkenaan merupakan pelajar Tingkatan Tiga sekolah berkenaan.

Mereka dikenakan reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 1 September depan.

Ketika dibawa ke mahkamah, salah seorang daripada suspek berpakaian seragam sekolah manakala tiga yang lain berkemeja-T berwarna merah.

Mereka dibawa menaki trak polis sebaik perintah reman diperolehi.

Dalam kejadian jam 10 pagi Ahad lalu, seorang pelajar Tingkatan Dua sekolah sama, Muhammad Anas Amir, mengalami pendarahan dalam kepala selepas dipercayai dipukul dan dihentak kepala ke dinding oleh beberapa pelajar Tingkatan Tiga.

Mangsa kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham apabila mangsa dikatakan cuba menarik tangan adik suspek selepas diminta oleh guru supaya memanggil pelajar lain masuk ke kelas.

Ekoran itu, suspek yang tidak berpuas hati bertindak memukul serta membelasah mangsa.

Kes di siasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja.