Polis menahan lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes bunuh seorang juruteknik dalam kejadian di Damansara Damai pada awal pagi Selasa.

Suspek berusia 26 tahun itu ditahan di kediamannya di Kapar, Klang pada jam 6 pagi oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, polis percaya kedua-dua suspek dan mangsa terbabit dalam pergaduhan.

"Hasil siasatan, kita tidak menolak kemungkinan botol kaca digunakan sebagai senjata berdasarkan serpihan kaca yang ditemui di lokasi kejadian.

"Suspek juga dipercayai merupakan rakan lama kepada mangsa sewaktu zaman persekolahan", katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Katanya, suspek telah direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

BACA: Juruteknik ditemui maut di tangga pangsapuri, dipercayai dibunuh

Terdahulu, mangsa G Pusparajan, 24 , ditemui mati di kawasan tangga sebuah pangsapuri dengan kecederaan parah di kepala dan leher pada jam 1.20 pagi.

Mayat mangsa dibawa ke hospital Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi proses bedah siasat.