Seorang lelaki yang merupakan seorang suspek kes samun dan rogol di sebuah pusat judi di Bandar Kinrara, di Puchong mati selepas terjatuh dari tingkat 12 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak, Jalan Rejang, Taman Setapak, di sini malam tadi.

Menurut Ketua Polis Serdang, ACP Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias, kejadian berlaku apabila mangsa cuba mengelak daripada ditangkap polis, semasa satu serbuan di rumah itu kira-kira pukul 10.10 malam.

“Pasukan serbuan telah mengetuk pintu beberapa kali sambil memperkenalkan diri sebagai polis tetapi penghuni enggan membuka pintu.

“Pasukan serbuan telah bertindak memotong kunci mangga dan memecahkan pintu. Apabila masuk ke dalam rumah tersebut didapati seorang lelaki dan seorang perempuan berada di ruang tamu.

“Pasukan serbuan telah terdengar barang-barang terjatuh dari bahagian dapur dan terus ke bahagian dapur untuk membuat pemeriksaan mendapati suspek kes sedang bergayut di gril bahagian luar dapur untuk turun ke unit bawah tujuan melarikan diri.


“Pasukan serbuan telah memujuk lelaki tersebut untuk masuk ke dalam dan menyerah diri tetapi lelaki itu enggan berbuat demikian,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata lelaki tersebut telah terjatuh ke bawah secara tiba-tiba dan pasukan serbuan telah turun ke bawah, di mana didapati lelaki itu terbaring di atas tanah dan masih bernyawa.

“Pasukan serbuan telah hubungi ambulans untuk bantuan. Ambulans telah sampai dalam masa 30 minit dan membawa lelaki tersebut ke Hospital Kuala Lumpur.

“Lelaki India tersebut telah disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan semasa di hospital,” katanya.

Beliau menambah bahawa semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah berkait dadah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Pada 13 Mei, satu video yang mengejutkan rakyat Malaysia tular di laman media sosial, di mana, dua orang lelaki dilihat menyamun sebuah premis judi di Puchong, sebelum dipercayai merogol seorang mangsa wanita yang bekerja di premis itu.

Ekoran kejadian itu, salah seorang suspek yang berusia 26 tahun ditahan pada Ahad di Kuala Selangor.

Selasa lepas, seorang wanita warga Indonesia serta lelaki warga Bangladesh berusia 33 dan 34 tahun yang merupakan mangsa kes berkenaan tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang.