Polis menahan suspek utama kes tikam seorang guru wanita Sekolah Rendah Al-Amin dalam kejadian di Taman Setapak Jaya di sini, Isnin lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad berkata suspek lelaki berusia 22 tahun, yang juga anak kepada mangsa Khariah Hashim, 49, ditahan di sekitar Pandan Indah di sini, pada 1 pagi tadi.

"Suspek ditahan oleh anggota Unit Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya sebelum dibawa ke Balai Polis Pandan Indah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, suspek akan direman hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan.

Dalam kejadian pada 8.45 malam itu, Khariah dilaporkan mengalami kecederaan parah di perut, dahi dan kedua-dua tangan dipercayai ditikam dengan sebilah pisau oleh anaknya yang dikatakan mengalami masalah mental.

Ketika kejadian, Khariah sedang menunaikan solat Isyak dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Kuala Lumpur di sini.