Seorang daripada tiga suspek yang dipercayai terlibat dalam kes pecah masuk masjid di Masjid Ar-Rahmaniah, Felda Lasah dan dua lagi masjid dekat sini berjaya dicekup dalam satu operasi pada pagi Khamis.

Lelaki berusia 20-an itu dipercayai merupakan salah seorang tiga suspek yang memecah masuk masjid tersebut pada 6 Mac lepas.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Supt Rozemi Ismail berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pecah masuk masjid itu daripada jawatankuasa masjid tersebut.

Katanya, dalam insiden itu, tabung masjid yang mengandungi RM400 telah dicuri selain empat buah unit kamera litar tertutup (CCTV) turut dibuka oleh ketiga-tiga suspek tersebut.

BACA: "Lebih teruk daripada babi" - Tiga lelaki pecah masuk masjid curi tabung

"Kejadian sekitar 5.30 pagi Selasa itu disedari oleh pengadu yang bertugas sebagai bendahari masjid sewaktu sampai di lokasi untuk menunaikan solat Subuh.

"Hasil siasatan mendapati kerugian wang tunai berikutan kes pecah masuk itu dianggarkan sekitar RM400 selain empat unit CCTV bernilai RM1,700 yang terletak di bahagian ruang solat dan luar masjid.

"Bendahari masjid tersebut telah bertugas selama enam tahun dan beliau memberitahu pihak polis bahawa masjid itu tidak berkunci untuk memudahkan orang ramai menggunakannnya dan menunaikan solat," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Rozemi berkata, pihak polis juga telah menganalisa perakam CCTV tersebut dan mendapati seramai tiga orang lelaki telah datang ke masjid berkenaan dengan membawa sebatang kuku kambing untuk mengumpil selak mangga tabung masjid.

Menurutnya, polis percaya ketiga-tiga suspek tersebut merupakan penagih dadah dan melakukannya ke atas dua lagi masjid di Sungai Siput.

"Siasatan mendapati kejadian pecah tabung masjid turut berlaku di Kampung Perlop 2 dan Kampung Temin, di sini, di mana kami mendapati sebatang tiang di dalam Masjid Kampung Temin juga telah diconteng dengan isyarat lucah.

"Bagaimanapun, tiada laporan polis diterima daripada kedua-dua masjid berkenaan," ujarnya lagi.

Rozemi berkata berikutan rentetan kejadian pecah masuk itu polis telah mengadakan sebuah operasi bersepadu bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kuala Kangsar pada pagi Khamis.

Menurutnya, hasil operasi selama dua jam di sekitar ladang sawit Kampung Talang Tengah, di sini, pihaknya telah menangkap seramai 11 orang lelaki berusia antara 30 hingga 62 tahun dan dibawa ke IPD Sungai Siput bagi siasatan.

"Lima daripada mereka telah diserahkan kepada AADK untuk tindakan di bawah Akta Penagih Dadah dan selebihnya disiasat dibawa Akta Dadah Berbahaya.

"Operasi itu juga membawa kepada salah seorang daripada tiga suspek yang melakukan sebanyak tiga kes pecah tabung masjid pada 6 Mac lepas," katanya lagi.

Rozemi berkata, pihaknya sedang giat mengesan dua lagi suspek dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.