Polis berjaya menahan suspek lelaki dipercayai terlibat kes cabul membabitkan kanak-kanak perempuan tujuh tahun dalam kejadian di sebuah sekolah rendah pada 27 Mac lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Assisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, dalam tangkapan lebih kurang jam 4 petang itu, dua telefon bimbit milik suspek turut dirampas.

Menurutnya, hasil pemeriksaan polis pada telefon bimbit yang dirampas daripada lelaki yang berusia 20 tahun itu mendapati 15 rakaman video kesalahan seksual terhadap 12 kanak kanak yang berbeza.

“Kebanyakan kejadian berlaku dalam kawasan sekolah di Marang dan Kuala Terengganu namun ada juga berlaku di kawasan perumahan dan suspek dipercayai telah melakukan kesalahan itu sejak awal 2017.

“Suspek juga ke sekolah pada tengahari, petang ketika murid murid pulang dari sekolah. Sasaran suspek adalah murid yang masih menunggu penjaga mereka terutama yang lambat diambil,” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang. Hadir sama, Ketua Polis Marang, Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali.

Menurut Fazlisyam, siasatan juga mendapati suspek akan meminta mangsa menunjukkan kelas tertentu termasuk tandas dan kemudiannya mengajak mangsa masuk ke kelas atau tandas bersama.

“Suspek menggunakan alasan untuk melihat lencana sekolah. Selepas mangsa masuk ke dalam kelas atau tandas, suspek akan meraba dada mangsa, termasuk meminta mangsa menghisap kemaluan.

“Suspek kemudiannya akan merakam kesemua kejadian dengan menggunakan telefon bimbitnya,” katanya turut menasihati ibu bapa berhubung keselamatan anak-anak dengan mengambil mereka tepat pada waktu.

Beliau berkata, sebanyak 14 kertas siasatan di buka dan kes tersebut disiasat dengan pelbagai tuduhan mengikut Seksyen 5, 14(b) dan 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak Kanak 2017.

“Kesalahan-kesalahan itu boleh membawa kepada hukuman penjara maksimum 20 tahun hingga 30 tahun dan sebatan tidak kurang daripada enam sebatan bagi setiap pertuduhan,” katanya.