Dua remaja perempuan berusia 17 tahun direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kes menganiaya dan mengaibkan lelaki kurang upaya yang dikenali sebagai Pok Ya Cong Codei.

Perintah reman sehingga Khamis ini dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Rosila Nik.

Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana perkataan atau isyarat yang dimaksudkan mengaibkan kehormatan seseorang dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dalam kejadian awal pagi Ahad, kumpulan remaja itu dikatakan bertindak menanggalkan seluar mangsa sebelum menabur pasir ke kemaluannya.


Malah kedua-dua tangan lelaki itu turut diikat. Difahamkan kejadian berlaku di Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu.

Rakaman video berdurasi tujuh saat yang memaparkan tindakan kumpulan berkenaan turut tular di media sosial.

Pok Ya Cong Codei, 47 tahun, berasal dari Wakaf Tapai, Marang terkenal sebagai pemuzik jalanan di kalangan penduduk setempat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Idris Abd Rafar memaklumkan pihaknya sedang mengesan dua lagi rakan suspek yang berada di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.