Suspek penculik Wan Aisyah diburu polis

Suspek penculik Wan Aisyah diburu polis
GEORGE TOWN: Arbaiyah Md Zin,  ibu kepada Wan Aisyah yang hadir  ke Balai Polis Sungai Nibong bersama bekas suaminya, Wan Exzan kira-kira jam 4.45 petang Isnin berterima kasih kepada semua pihak yang membantu mencari anaknya.

Kedua-duanya yang bergegas mahu meninggalkan perkarangan balai enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu sebaliknya hanya menzahirkan ucapan terima kasih kerana mendapat semula anaknya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang,SAC Mazlan Kesah memaklumkan kanak-kanak itu dihantar oleh ibu kepada lelaki yang melarikannya di balai polis Sungai Nibong jam 11 pagi tadi dalam keadaan selamat.

Mazlan berkata, polis kini sedang mengesan suspek yang dikenali sebagai Shahrizal Yusof  bagi membantu siasatan.

Tanbahnya lagi, polis Pulau Pinang akan berkerjasama dengan polis Selangor menjejaki suspek berdasarkan maklumat yang diperolehi.

“Suspek balik dalam kul 5.20am untuk makan sahur, di mana ibunya perasan ada seorang budak. Dari situlah timbul syak dan akhirnya ibu suspek membawa anak itu ke balai polis.”

Kes disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Kesiksaan.

Kanak-kanak perempuan, Wan Aisyah Wan Exzan,3 tahun yang dilaporkan hilang dan dilarikan seorang lelaki di Rawang, Selangor ditemui semula di Teluk Kumbar Pulau Pinang
Sebelum itu, Astro Awani melaporkan Adik Wan Aisyah Wan Exzan yang hilang sejak 2 Ogos kerana dipercayai diculik, telah diserahkan ke Balai Polis Sungai Nibong oleh ibu suspek pagi tadi.

Perkara ini disahkan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah.

Mazlan berkata Wan Aisyah berada dalam keadaan yang sihat.

“Kami sudah maklumkan perkara ini kepada Balai Polis Rawang. Pihak Polis di sana akan mengaturkan maklumat perjalanan ibu Wan Aisyah ke sini untuk mengambil anaknya,” katanya kepada Astro Awani.

Berita tentang kehilangan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun telah mendapat perhatian meluas di laman media sosial apabila orang ramai menggesa tindakan pantas pihak polis untuk mencarinya.

Berita kehilangan adik Wan Aisyah Wan Exzan mula disebarkan kepada umum oleh ibunya yang dikenali sebagai Cikgu Arbaiyah di Facebook, apabila beliau memuatnaikkan gambar anak beliau yang sedang didukung oleh suspek.

aisyah

Kejadian itu dikatakan berlaku di pasaraya Jaya Jusco di Rawang.

Gambar itu telah dikongsikan dengan meluasnya di laman Facebook dan Twitter dengan harapan dapat menolong keluarga Wan Aisyah untuk mencarinya.

Ibu Wan Aisyah juga turut menulis di Facebook bahawa keluarganya sudah puas menangis sejak kehilangan Wan Aisyah dan mereka kini amat merinduinya.

facebook

Satu "hashtag" yang dipanggil #findaisyah juga menjadi topik perbualan di laman Twitter.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah yang mengesahkan kejadian itu, berkata ibu Wan Aisyah telah membuat laporan polis sehari selepas kehilangannya pada 2 Ogos.

Abdul Rahim berkata dalam laporan polis itu, ibu Wan Aisyah yang merupakan guru sekolah SMK Sg Choh telah berkenalan dengan suspek melalui Facebook pada bulan Mei tahun ini.

aisyah

“Ibunya yang telah bercerai, berkawan rapat dengan lelaki itu dan kedua mereka telah berjumpa sekurang-kurangnya empat kali sebelum kejadian ‘penculikan’ itu.

“Lelaki itu telah berjanji untuk berkahwin dengan ibu Wan Aisyah selepas Hari Raya dan telah berjanji untuk membawa keluarga itu untuk berbulan madu. Ibu Wan Aisyah juga telah membantu menjana perniagaan lelaki itu dengan memberikan RM25,000 kepadanya.

“Pada 2 Ogos, lelaki itu telah meminta kebenaran ibu Wan Aisyah untuk membawa kanak-kanak itu ke Jabatan Imigresen, kononnya untuk membuat pasport. Wan Aisyah hilang selepas itu,” kata Abdul Rahim.

Abdul Rahim berkata pihak polis kini sedang menjejaki lokasi suspek.

Sementara itu, orang ramai turut mencurahkan rasa simpati dan harapan untuk keluarga Wan Aisyah bertemu semula dengannya.