Seorang lelaki yang dipercayai memuat naik kenyataan tular di Facebook, memperlekehkan kebenaran 12 jemaah menunaikan solat Jumaat di negeri ini dijangka dituduh di Mahkamah Majistret Kulai pada 1 Jun.

Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Tok Beng Yeow berkata, pihaknya telah mendapat laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung pengesahan pemilik akaun Facebook berkenaan.

"Semalam, keputusan MCMC telah diperoleh dan kita akan rujuk kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya pada Ahad ini untuk arahan lanjut.

"Kemungkinan besar suspek akan dituduh pada Isnin (1 Jun) di Mahkamah Majistret Kulai dan perkara ini akan dikemas kini pada Ahad nanti," katanya kepada pemberita di sini, pada Jumaat.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 505B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada 19 Mei lepas, suspek warga tempatan berumur 45 tahun itu telah menyerah diri manakala telefon bimbit miliknya turut diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai.

Menurut Tok, suspek dibebaskan dengan jaminan polis setelah menjalani tempoh reman selama tiga hari bermula 20 Mei.

BACA: Exco Johor buat laporan polis kenyataan perlekeh kebenaran solat Jumaat

Pada 16 Mei lalu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi membuat laporan polis berhubung satu kenyataan tular yang dimuat naik seorang individu di laman Facebook yang memperlekehkan kebenaran 12 jemaah menunaikan solat Jumaat di negeri ini.

Kenyataan itu dipercayai dimuat naik oleh individu berkenaan pada 13 Mei lepas.

Tosrin berkata tindakan individu terbabit menghina kesucian agama Islam dan mengingkari perintah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Kerajaan negeri Johor pada 13 Mei lepas mengumumkan hanya 12 jemaah dibenarkan menunaikan solat Jumaat di setiap masjid dan surau di negeri ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan.

-- BERNAMA