Seorang lelaki warga asing, dipercayai suspek kes samun keluar bank, mati ditembak polis di Jalan Dato Onn Utama, Bandar Dato Onn, di sini, malam tadi.

Suspek yang berada di dalam keadaan mencurigakan itu diekori sepasukan anggota pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) Bukit Aman dan Unit Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata berlaku aksi kejar-mengejar apabila suspek tidak mahu menghentikan kenderaan jenis Proton Wira dan mula bertindak agresif.

Setibanya di Bandar Dato Onn, suspek melanggar kenderaan polis dan mula melepaskan beberapa das tembakan.

Dalam insiden berbalas tembakan itu, polis berjaya menembak mati suspek.

Pemeriksaan awal mendapati suspek berusia 40-an itu mempunyai sepucuk pistol revolver .38 di dalam keretanya.

Mohd Kamarudin dalam pada itu percaya suspek terlibat dalam kes-kes melibatkan samun keluar bank bersenjata bersama beberapa anggota lain, termasuk warga tempatan, dengan lebih empat kes sama di Johor, Melaka dan beberapa negeri lain sejak tahun lepas.

“Kita akan mulakan siasatan bagi mengenal pasti suspek ini terlibat dengan kes lain dan juga rakan mereka yang sama terlibat dalam kes samun keluar bank,” kata Mohd Kamarudin.

Mayat dibawa ke Hospital Sultan Ismail untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh.