Suspek yang terlibat dengan aktiviti militan Dr Mahmud Ahmad yang diburu oleh pihak polis dikenali sebagai seorang yang berpewatakan baik dan taat kepada ibu dan keluarga.

Sumber yang merupakan salah seorang ahli keluarga suspek memberitahu Astro AWANI bahawa mereka langsung tidak mengetahui penglibatan Dr Mahmud dalam sebarang aktiviti militan seperti yang dilaporkan.

Sumber yang enggan mendedahkan identitinya juga mengakui bahawa Dr. Mahmud sememangnya kerap ke luar negara.

Sumber itu bagaimanapun tidak memperincikan tujuan dan destinasi yang kerap dikunjungi Dr. Mahmud.

Dr. Mahmud, 36 tahun, yang berasal dari Batu Caves, Selangor dipercayai kini bersembunyi di selatan Filipina.

Beliau merupakan pensyarah di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Pendedahan mengenai penglibatan Dr. Mahmud dalam aktiviti militan dibuat Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Rabu.

Beliau turut mengumumkan empat lagi suspek militan yang turut sama bersembunyi di selatan Filipina.

Militan
Lima wajah suspek terbabit aktiviti militan yang diburu polis

Dalam kenyataannya, Khalid berkata tiga daripada mereka disyaki terlibat dalam merekrut dan mengatur pemergian anggota-anggota militan dari Malaysia untuk menyertai kumpulan Islamic State of Iraq and The Levant (ISIL) di Syria.

Sementara dua lagi adalah anggota Darul Islam Sabah yang kini menyertai kumpulan Abu Sayyaf Group (ASG) di selatan Filipina.