Seorang lelaki ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kejadian menetak bekas isterinya di Kampung Kubang Pisang, Pendang, Kedah.

Perintah reman sehingga 22 Ogos itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Alor Setar.

Ketua Polis Daerah Pendang, DSP Fadzil Hashim berkata, polis menahan suspek berusia 27 tahun itu pada jam 5 petang semalam di rumah keluarganya.

Menurutnya, ketika ditangkap, polis menemui sebilah parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Saringan air kencing mendapati, suspek positif dadah.

Katanya, siasatan lanjut polis mendapati, suspek mempunyai rekod penyalahgunaan dadah sebelum ini.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Dalam kejadian lewat petang Rabu, mangsa Syafinar Gozali, 27, dikatakan datang ke rumah keluarga suspek untuk memujuknya yang berkurung di dalam bilik sejak dua hari lalu.

Suspek kemudian bertindak membakar pakaian di bilik tidurnya, sebelum keluar ke dapur untuk mengambil parang dan menetap isterinya.