Dua remaja mangsa amukan pekerja kilang memproses makanan sejuk beku di Kampung Selamat, Kepala Batas, Pulau Pinang, malam tadi dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor memaklumkan, kedua- dua mangsa iaitu Yong Wei Keong, 14 tahun, dan Sia Yung Jern, 18 tahun, yang parah ditetak sudah sedarkan diri dan masih menerima rawatan di Hospital Kepala Batas.

Noorzainy berkata polis sedang mengesan lelaki warga Indonesia berusia 31 tahun bagi membantu siasatan kes amuk berkenaan.

Katanya, suspek kali terakhir dilihat meninggalkan kilang itu petang Rabu menaiki motosikal jenis Yamaha Sport berwarna biru dengan nombor pendaftaran PBM1524.

Suspek yang juga pekerja kilang tersebut telah bekerja sejak kira-kira setahun lalu dan motosikal yang digunakan ketika meninggalkan kilang tersebut adalah kepunyaan salah seorang keluarga pemilik kilang tersebut.

Katanya, polis percaya suspek masih berada di dalam kawasan Tasek Gelugor.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD Seberang Perai Utara (SPU) atau tampil ke balai polis yang berdekatan bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian jam 4 petang Rabu, seorang wanita, Sia Seok Kee, 41 tahun, maut manakala anak dan anak saudaranya parah ditetak dengan parang oleh pekerja kilang warga Indonesia yang mengamuk kerana tidak berpuas hati dengan majikannya yang didakwa tidak membayar gaji.