Suspek tikam kawan tuntut hutang ditahan polis

Suspek tikam kawan tuntut hutang ditahan polis
Polis turut merampas topi, seluar jeans, baju T, sepasang kasut, beg tangan dan telefon bimbit suspek. - Foto PDRM
GEORGE TOWN: Polis telah menahan seorang lelaki yang bertindak menikam sehingga mati rakannya yang menuntut hutang pada Isnin lalu .

Lelaki berusia 35 tahun itu diberkas polis dalam serbuan di sebuah kondominium di Bayan Lepas jam 3.45 pagi ini, hasil risikan dan maklumat Pasukan Siasatan Jenayah Berat (D9).

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang berkata, siasatan awal pihaknya mendapati suspek mengaku membunuh mangsa.

Suspek yang positif dadah jenis methamphetamine itu juga mengaku sebagai ahli kumpulan Triple Two One (221) di kawasan Bukit Jambul.

Turut dirampas bersama suspek adalah topi, seluar jeans, baju T, sepasang kasut, beg tangan dan telefon bimbit.

BACA: Maut ditikam rakan gara-gara tuntut hutang

Che Zaimani berkata, semakan turut mendapati suspek mempunyai lapan rekod lampau dengan enam daripadanya berkaitan kes dadah.

Suspek direman hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat.

Pada Isnin, seorang lelaki, Mohamad Nurulhudin Ismail, 31 tahun, maut selepas ditikam dengan sebilah pisau oleh rakannya pada jam 11.20 malam.

Kejadian itu berlaku selepas mangsa mahu menuntut hutang daripada seorang lelaki berdekatan sebuah pusat beli-belah di Bukit Jambul.