Polis menahan seorang suspek utama yang dipercayai melarikan seorang pelajar tingkatan tiga di Bandar Tun Hussein Onn minggu lepas dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Koperasi Maju Jaya, Cheras, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Othman Nanyan berkata, lelaki berusia 27 tahun itu ditahan hasil risikan polis dan maklumat orang awam dalam serbuan pada 3.30 petang.

Beliau berkata pihaknya juga menemui sebilah parang disyaki digunakan ketika melarikan mangsa dan melakukan samun, di dalam rumah berkenaan.

"Ketika menahan lelaki itu, polis menemui sebuah dompet berisi kad pengenalan miliknya dan satu lagi kad pengenalan milik orang lain.

"Hasil semakan kad pengenalan itu, polis mendapati ia adalah milik seorang mangsa dalam satu kejadian samun di Batu 9, Cheras pada Sabtu lepas," katanya ketika dihubungi Bernama di sini malam tadi.

Othman berkata hasil siasatan polis mendapati lelaki berkenaan masih bujang dan tidak bekerja, selain mempunyai dua rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah.

"Hasil soal siasat yang dibuat, polis menahan seorang lagi lelaki warga Indonesia yang disyaki menjadi pembeli barangan hasil samun yang dilakukan lelaki berkenaan.

"Tangkapan dilakukan pada hari sama dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Minang, Batu 9, Cheras, pada 5.30 petang tadi dan polis menemui beberapa barangan dipercayai hasil samun antaranya tiga utas jam tangan, tablet komputer dan telefon bimbit," katanya.

Ditanya sama ada polis telah mengenal pasti seorang lagi rakan suspek yang bersubahat melarikan mangsa, Othman berkata suspek telah dikenal pasti yang mana tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat.

Othman berkata suspek yang terlibat melarikan mangsa kini direman tujuh hari sehingga 2 Okt depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melakukan penculikan.

Pada 22 Sept lepas, remaja berkenaan yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn dilapor dilarikan dua lelaki bermotosikal ketika dia sedang menunggu van sekolah di hadapan rumahnya di Bandar Tun Hussein Onn. - BERNAMA