Polis telah mengenal pasti suspek utama bagi kes bunuh yang melibatkan dua beradik warga Myanmar ditikam dan seorang daripadanya maut.

Sebelum ini, Astro Awani melaporkan kejadian seorang warga Myanmar maut dengan tiga kesan tikaman ditemui di badan sementara adiknya turut cedera di Pasir Pinji, dekat sini awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Thamby berkata kejadian tersebut dipercayai berlaku akibat pergaduhan tercetus di antara suspek dan mangsa yang maut ditikam.

“Siasatan awal mendapati berlakuya pergaduhan antara mangsa dan adiknya dengan suspek, dan ini adalah kerana mangsa maut menegur tindakan suspek mengganggu seorang perempuan.

“Buat masa ini, suspek telah dikenalpasti dan selepas kejadian, suspek lari bersama perempuan itu.

“Kita akan mengesan telefon bimbit yang digunakan suspek dan butiran peribadi akan diambil dari tempat kerja,”katanya.

Mohd Ali berkata, suspek adalah kawan kepada dua beradik itu dan kini dipercayai melarikan diri bersama wanita itu.Mayat seorang warga Myanmar ditemui dengan tiga kesan tikaman dekat Jalan Hoover, Pasir Pinji dekat sini sekitar jam 1 pagi Khamis.

Mangsa, yang berumur dalam lingkungan 30-an ditemui maut terlentang di atas jalan raya dipercayai selepas terlibat dalam sebuah pergaduhan sebelum itu.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.