Polis sedang melengkapkan siasatan berhubung kejadian kemalangan jalan raya membabitkan Kenderaan Utiliti Sukan ( SUV) Mazda CX 5 dan Toyota Vios di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang yang turut mengorbankan pemandu SUV terbabit selepas ia terhumban ke dalam laut pada Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ( SPT) Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid ketika dihubungi Astro AWANI memaklumkan ketika ini pihaknya sedang mengumpul data berkaitan kemalangan selain masih menunggu keputusan ujian darah dan alkohol pemandu Toyota Vios berkenaan.
"Selepas semuanya lengkap kita akan serahkan kertas siasatan itu kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya" katanya.

BACA: Sebak, lagu 'Bertemu dan Berpisah' iringi persemadian pemandu SUV Mazda

BACA: Pilu lihat mayat pemandu terperangkap dalam SUV jatuh jambatan
Setakat ini, polis sudah merekodkan keterangan 16 individu termasuk saksi awam, ahli keluarga, rakan- rakan mangsa dan pemandu Toyota Vios.
Dalam pada itu, Nik Ros Azhan berkata, polis tidak menolak kemungkinan akan memanggil semula pemandu kereta Toyota Vios jika ada keperluan untuk berbuat demikian.

Pada Rabu, pendandan rambut berusia 21 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas dia ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah( SPT).
Nik Ros Azhan berkata kes yang pada mulanya diklasifikasikan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kini diklasifikasikan semula di bawah Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

MIROS kumpul data kemalangan
Sementara itu, polis turut menutup laluan di lorong kiri Jambatan Pulau Pinang hari ini kira-kira jam 10 pagi sehingga 12 tengahhari Khamis bagi membolehkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mengumpul data-data berkaitan dengan kemalangan tersebut.
Dalam kejadian 2.54 pagi Ahad, SUV jenis Mazda CX-5 yang dipandu Moey Yun Peng, seorang penuntut kolej swasta, terhumban ke laut selepas berlanggar dengan sebuah kereta lain jenis Toyota Vios dalam kemalangan di Kilometer 4, Jambatan Pulau Pinang.
Usaha untuk mengeluarkan kenderaan dan mayat Yun Pen dari dasar laut, mengambil masa lebih 24 jam sebelum berjaya dikeluarkan pada Selasa petang.
Mayat mangsa yang masih berada di tempat duduk pemandu kenderaan dengan tali pinggang keledarnya masih terpasang, ditemukan dalam SUV yang remuk itu semasa ditarik keluar dari laut pada jam 6.07 petang.