Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Kedah mensasarkan sifar aduan kutipan sampah daripada orang awam menjelang penghujung tahun ini.

Pengarahnya, Hazahar Hashim berkata langkah itu dalam usaha menjadikan negeri ini bebas daripada sampah.

Beliau juga yakin sasaran itu dapat dicapai berikutan hanya menerima kurang daripada lima aduan berkaitan kutipan sejak pertengahan tahun lalu.

"Pada tahun 2010, Kedah dikatakan sebagai Darul Sampah tetapi apabila Kerajaan Persekutuan telah mengambil alih untuk penswastaan, sekarang Kedah sudah menjadi satu negeri contoh pada negeri-negeri lain.

"Kini pihak berkuasa tempatan atau pihak kerajaan negeri banyak yang menyatakan hasrat untuk datang ke Kedah untuk belajar macam mana kedah menjadi sebuah negeri yang bersih," katanya selepas Program Muafakat Ke Arah Kelestarian Kebersihan Persekitaran Di Flat Sri Gemilang, Mergong di sini, hari ini.

Beliau turut menyerahkan barangan makanan keperluan kepada 50 penghuni flat terbabit.

Katanya sebelum 2016, ribuan aduan diterima dalam tempoh sebulan, selepas kerjasama bersama Environment Idaman Sdn Bhd (E-Idaman), Majlis Bandaraya Alor Setar, kerajaan negeri serta beberapa agensi lain, aduan itu semakin berkurangan.

Hazahar berkata kejayaan menjadikan negeri Kedah bebas daripada sampah pada tahun lalu turut mendapat perhatian dari negeri lain seperti Melaka dan Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) yang mahu menjadikan contoh cara pengurusan sisa pepejal yang dilakukan di negeri ini..

Katanya ia merupakan pencapaian terbaik negeri seiring hasrat kerajaan negeri dengan slogan 'Kedah Negeriku Bersih Serata-Rata'.

Bagaimanapun katanya, tahap kesedaran Pengurangan, Guna Semula dan Kitar Semula (3R) dan pengasingan sisa di punca (SAS) masih kurang memuaskan.

Peratusan kitar semula masih rendah iaitu 12 peratus sahaja berbanding 1,400 tan sampah yang dijana setiap hari.

Justeru, program itu akan diteruskan dari semasa ke semasa di taman-taman lain di seluruh negeri bagi mendidik masyarakat melakukan kitar semula dan tidak membuang sampah.