Syak susu tiruan: Ibu terduduk, lihat najis anak berdarah

Syak susu tiruan: Ibu terduduk, lihat najis anak berdarah
Adruce Mikael mula mengalami gejala muntah berterusan, kulit melepuh dan cirit birit sejak 10 Oktober lalu ketika berusia 10 bulan - Foto Norseila Nawi
KUALA LUMPUR: Tiada ibu bapa yang sanggup melihat anak menderita sakit hingga meragut separuh nyawa.

Apatah lagi apabila pasukan perubatan gagal untuk mengesahkan punca penyakit yang dialami anak mereka.

BACA: Susu tiruan: Rasa susu anak anda, jangan selalu tukar - Pakar

Itulah yang terpaksa dilalui Norseila Nawi apabila anaknya yang hanya berusia 10 bulan pada Oktober lalu menderita kulit melepuh, muntah tanpa henti hingga mengeluarkan najis berdarah.


Norseila yang menetap di Setia Alam, Selangor terpaksa membeli sekotak susu di sebuah kedai serbaneka terkemuka. - Foto Norseila Nawi

Norseila mula mengesyaki sesuatu yang tidak kena dengan anaknya, Adruce Mikael Ahmad Solahuddin selepas tular di media sosial isu susu bayi tiruan.

BACA: 210 kotak susu tiruan bernilai RM42,000 dirampas

Menceritakan kepada Astro AWANI, sukar untuk beliau ungkapkan apa yang berlaku kepada anaknya.

Terdesak beli, bekalan habis

Pada lewat petang 9 Oktober lalu, Norseila yang menetap di Setia Alam, Selangor terpaksa membeli sekotak susu di sebuah kedai serbaneka terkemuka yang mempunyai cawangan di seluruh Malaysia lantaran bekalan susu anak keduanya itu habis.

"Saya ke kedai rangkaian serbaneka dan saya membeli susu berjenama yang sama seperti biasa saya beli kerana di pasaraya yang selalu beli telah habis bekalan.

BACA: Susu tiruan: Mead Johnson buka ruangan lapor di laman web

"Pada subuh 10 Oktober, saya membuka susu berpaket dalam kotak itu dan masukkannya dalam tin. Itu yang selalu saya lakukan.

"Selepas saya bancuh dan bagi kepada anak saya, dia terus muntah dan keadaan sama berulang. Boleh dikira hampir sembilan kali dia muntah sejak pagi hingga pukul 3 petang.
"Selain muntah, kemudian naik ruam berwarna merah yang kelihatan agak melecur di seluruh badan dia. Pukul 3 petang anak saya tak bangun dan susu pun tak nak minum, jadi saya bawa dia ke hospital," katanya.

Norseila berkata beliau tidak mengesyaki langsung susu menjadi punca kejadian itu kepada anaknya kerana baginya susu berjenama terkemuka itu adalah produk berkualiti tinggi. - Foto Norseila Nawi

Syak makanan, persekitaran

Setelah membawa anaknya ke unit kecemasan sebuah hospital, doktor yang merawat anaknya mengesyaki Adruce Mikael mengalami dehidrasi atau kesugulan akibat muntah yang berterusan.

"Doktor ada bertanya saya susu apa yang saya berikan, saya sebutkan jenama susu yang saya beri. Kemudian doktor tidak langsung mengesyaki alahan susu kerana ia antara susu yang dicadangkan oleh doktor.

"Jadi doktor mengesyaki makanan (solid food) yang saya beri atau anak saya memasukkan sesuatu dalam mulutnya dari persekitaran rumah kerana dia sudah pandai merangkak," ujarnya.

BACA: Susu tiruan atau tercemar? KPDNKK, KKM mesyuarat petang ini

Jelas Norseila, ketika itu beliau masih tidak menerima sebarang jawapan kukuh daripada doktor berkenaan punca sebenar penyakit yang dialami anaknya.

"Selepas itu, doktor masukkan saliran air garam (water drip). Perkembangannya sangat positif bila dia berhenti muntah dan ruam berkurangan.

"Doktor kata jika ada apa-apa sakit baki kesan sampingan akan keluar melalui najis. Memang benar, najis anak saya sangat busuk dan agak berlendir.

"Empat hari di hospital, saya ada berikannya dua kali sahaja susu yang sama dan dua kali juga anak saya alami cirit birit selepas minum susu itu," katanya.

Bagaimanapun, Norseila berkata beliau tidak mengesyaki langsung susu menjadi punca kejadian itu kepada anaknya kerana baginya susu berjenama terkemuka itu adalah produk berkualiti tinggi.

Menurut Norseila, doktor telah menjalankan ujian darah bagi mengesan virus Rota atau Influenza, namun keputusan adalah negatif. - Foto Norseila Nawi

Diberi susu sama, bertambah serius

Menurut Norseila, doktor telah menjalankan ujian darah bagi mengesan virus Rota atau Influenza, namun keputusan adalah negatif.

Pada 14 Oktober, Adruce Mikael dibenarkan keluar hospital. Setiba di rumah, Norseila memberi anaknya susu jenama sama tanpa memberi sebarang makanan lain kerana gusar kejadian sama akan berulang.

Namun, tanggapannya meleset apabila keadaan anaknya bertambah serius berbanding 10 Oktober lalu.

"Pada 16 haribulan, keadaannya makin serius apabila dia muntah yang mengeluarkan lendir berwarna kekuningan dan berbuih. Malah, najis sangat banyak.

"Saya terus bawanya ke hospital dan doktor terpaksa menahan anak saya di dalam wad. Doktor mengesyaki virus. Tetapi hari ketiga, saya dapati najis anak saya berdarah.

"Adruce Mikael terpaksa melalui prosedur memasukkan antibiotik dalam badannya. Dia beransur pulih dan saya tidak memberikan langsung susu kepadanya," jelas ibu berusia 33 tahun itu.

Norseila memberi anaknya susu jenama sama tanpa memberi sebarang makanan lain kerana gusar kejadian sama akan berulang. - Foto Norseila Nawi

Laporan rampasan susu tiruan

Selepas media melaporkan rampasan susu tiruan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tempoh hari, Norseila menghubungi semula doktor yang merawat anaknya.

"Doktor akui tidak membuat sebarang ujian darah berhubung pengambilan diet Adruce Mikael. Doktor kemudian minta saya datang semula baru-baru ini dan membuat ujian fungsi buah pinggang dan hati.

BACA: Mead Johnson keluarkan cara kenal pasti susu formula palsu

"Tapi keputusan ujian itu masih belum keluar lagi dan saya masih menunggu laporan penuh ujian darah tersebut.

"Saya juga telah membuat laporan kepada syarikat pengeluar produk susu berkenaan dan kepada KPDNKK, tapi masih belum ada maklum balas.

Kali pertama Adruce Mikael dimasukkan ke hospital adalah pada 10 Oktober lalu dan kemudian pada 16 Oktober akibat mengalami gejala yang sama. Foto Norseila Nawi

Meruntun hati ibu lihat anak menderita

Norseila yang bekerja sebagai usahawan akui tinggal berjauhan dengan suaminya membuatkannya lebih cekal hadapi segala dugaan sebegitu.

"Saya ini agak kuat orangnya, sebab saya tinggal berjauhan dengan suami. Saya tidak akan menangis kalau anak saya sakit atau terpaksa ke hospital tengah malam.

BACA: Awas! Jangan terpedaya susu bayi murah

"Tapi bila lihat najis pun berdarah, saya terus terduduk, demi Allah. Sekecil 10 bulan terpaksa tanggung derita sebegitu.

"Apatah lagi bila melihat anak saya melalui prosedur memasukkan antibiotik kerana saya tahu apabila antibiotik itu masuk ke dalam badan, ia akan terasa sangat sakit. Dia menangis tanpa henti.

Norseila menasihati ibu bapa yang mempunyai gejala yang sama seperti anaknya untuk mendapatkan rawatan segera di hospital. - Foto Norseila Nawi

Justeru, beliau menasihati ibu bapa yang mempunyai gejala yang sama seperti anaknya untuk mendapatkan rawatan segera di hospital dengan melakukan pemeriksaan terperinci