Tutup

Syarat ketat bank jejas pemilikan Rumah Selangorku

Syarat ketat bank jejas pemilikan Rumah Selangorku
Kerajaan Selangor telah meluluskan 144 projek perumahan membabitkan 57,710 unit Rumah Selangorku dalam tempoh 2016 sehingga 28 Feb, 2019. - Gambar hiasan
SHAH ALAM: Syarat ketat yang dikenakan pihak bank bagi mendapatkan pembiayaan menyebabkan hanya 24,243 pemohon program Rumah Selangorku yang telah menerima tawaran memiliki kediaman daripada 189,892  permohonan yang diterima sepanjang tempoh 2014 sehingga kini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kehidupan Bandar Haniza Talha berkata jumlah yang berjaya mendapatkan rumah itu agak rendah kerana berlaku kekangan pembiayaan daripada pihak bank.

"Kita dapati ada yang layak mendapat tawaran Rumah Selangorku ini tetapi syarat ketat pihak bank menyebabkan mereka tidak dapat pinjaman untuk membeli rumah tersebut," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Booth Pameran Rumah Selangorku di lobi Dewan Undangan Negeri Selangor di sini, pada Khamis.
Beliau berkata sehubungan itu pihaknya sedang meneliti pelbagai langkah alternatif termasuk mengadakan perbincangan dengan pelbagai bank yang boleh menawarkan pembiayaan tanpa mengenakan syarat ketat.

Haniza berkata pihaknya juga akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk turut sama melaksanakan program "Rent To Own" peringkat  Selangor yang dilihat sebagai platform terbaik bagi rakyat Selangor memiliki rumah.

"Ini akan kurangkan beban pembeli di mana mereka tidak perlu bayar deposit, tetapi bayar sewa dan selepas itu mungkin layak beli rumah terbabit," katanya.
Sebelum ini Menteri KPKT, Zuraida Kamarudin berkata pihaknya kini dalam proses akhir persiapan bagi memperkenalkan skim baharu pembiayaan pemilikan kediaman 'Rent To Own' yang akan dilancarkan pada bulan September ini.

Skim buat rakyat Malaysia khususnya golongan berpendapatan di bawah RM3, 000 sebulan untuk memiliki kediaman itu, menyaksikan pembeli tidak perlu membayar deposit, sebaliknya hanya membayar sewa.

-- BERNAMA