Syarikat bekalan air Kelantan, Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB) mengesahkan telah menghantar notis saman terhadap Husam Musa berhubung kenyataan dan dakwaan Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) ke atas syarikat berkenaan.

Tindakan saman terhadap Husam dibuat selepas beliau didakwa membuat kenyataan bahawa syraikat berkenaan menyeleweng berhubung projek bekalan air di Merbau, Chondong, Kelantan.

Penyerahan notis saman itu disahkan Pengurus Besar AKSB, Ir Wan Mohd Zamri Wan Ismail.

AKSB melalui peguam mereka sedang menanti tarikh sebutan kes di mahkamah.

Sebelum ini, dalam satu sidang media pada Mac lalu, Husam mendedahkan berlaku kekeliruan dalam pemberian tender mereka bentuk, membina dan menyiapkan kerja-kerja mekanikal serta berkaitan untuk Skim Bekalan Air Merbau Chondong, fasa kedua bernilai RM27.1 juta.

Dakwa Husam apa yang mengelirukan, surat tawaran kepada dua syarikat masing-masing CDAH Construction Sdn Bhd dan JV Jangka Prestasi Sdn Bhd dikeluarkan pada 22 Januari 2015, Namun syarikat berkenaan didaftarkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 9 Mac 2015.