PUTRAJAYA:Kerajaan akan memberikan kuota penggajian pekerja asing yang baharu kepada syarikat-syarikat yang ingin membiayai kos penghantaran pulang pendatang asing tanpa izin (PATI).

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, ia bagi menyelesaikan isu lambakan PATI di depoh tahanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan isu kekurangan tenaga kerja asing.

"Mesyuarat secara dasar turut bersetuju untuk meneliti cadangan supaya majikan dari kalangan syarikat-syarikat besar dibenarkan untuk membiayai kos penghantaran pulang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berada dalam tahanan depot.

"Sebagai timbal balas, syarikat akan diberikan kuota penggajian pekerja asing yang baharu melalui tapisan yang ketat mengikut prosedur operasi standard COVID-19," katanya.

Bagaimanapun, ujar Hamzah, penggajian tenaga kerja asing baharu itu perlu melalui tapisan yang ketat mengikut prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

Jelasnya lagi, perkara itu akan dibawa ke peringkat kabinet untuk diperincikan dalam masa terdekat.

Tambah Hamzah, daripada jumlah PATI yang ditahan di depoh tahanan ketika ini, hanya 15 peratus yang boleh dibenarkan bekerja manakala selebihnya didapati menyalahi undang-undang di negara ini.

"Kita ada lebih 20,000 PATI, hanya 15 peratus boleh digunakan sebagai tenaga kerja, yang lain itu ada masalah dan kita tidak benarkan bekerja semula. Mereka itu kita perlu hantar pulang ke negara asal.

"Jika majikan mahu menggajikan pekerja asing dengan cepat, mereka boleh usaha ini," katanya lagi.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata majikan yang ingin menyertai program berkenaan boleh berhubung dengan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan JIM.

"Program ini bertujuan untuk membantu industri yang terkesan untuk mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja dan meneruskan kelangsungan operasi perniagaan.

"Mesyuarat juga bersetuju supaya dikaji cadangan untuk menempatkan seramai 2,600 tahanan warga asing di depoh tahanan JIM kepada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

"JTKSM dan JIM akan membangunkan mekanisme pelaksanaan cadangan ini," kata Saravanan lagi.