Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengesahkan bahawa syarikat fesyen tempatan, Voir Holdings Bhd, hanya bertindak sebagai pelabur dalam projek terowong dasar laut, dan bukan merupakan kontrakor utamanya.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, perjanjian yang ditandatangani pada tahun 2013 bagi melaksanakan projek itu hanya melibatkan syarikat Konsortium Zenith-BUCG Sdn Bhd dan China Railway Construction Corporation Ltd (CRCC) yang bertindak sebagai kontraktor utama.

"Projek ini telah dikendali melalui tender terbuka yang diuruskan oleh Jawatankuasa Tender Negeri yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri," katanya pada satu sidang media di sini hari ini.

Lim berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pada Sabtu yang mempersoalkan pembabitan syarikat produk pakaian dan aksesori itu sebagai pemegang saham syarikat tujuan khas (SPV) dalam projek terowong dasar laut tersebut.

Katanya, kontrak tersebut masih mengekalkan CRCC sebagai kontraktor utama projek, sambil menambah, syarikat yang melabur dalam sesuatu projek tidak semestinya terlibat dalam pembinaan projek berkenaan.

Sementara itu, mengulas mengenai projek terowong dasar laut itu, Lim sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan negeri tetap akan meneruskan projek mega bernilai RM6.3 bilion itu mengikut kontrak asalnya.

Lim mendakwa, tindakan Wee itu bermotif politik bertujuan mencemar nama baik kerajaan negeri pimpinan DAP.

Terangnya, penglibatan syarikat fesyen ini adalah sama seperti penglibatan Kementerian Kewangan yang memiliki saham 51 peratus dalam projek Tun Razak Exchange (TRX).

"Kita tahu bukan Kementerian Kewangan yang bina, pemaju lain yang bina tetapi adakah pembelian saham itu munasabah dan berkepentingan kepada orang awam," katanya.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama itu dianugerahkan kepada Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, yang terdiri daripada beberapa syarikat.

Sebelum ini, projek itu mencetuskan pelbagai kontroversi antaranya berhubung kos kajian kebolehlaksanaan yang dikatakan terlalu tinggi selain kaedah pembayaran melibatkan pertukaran tanah kerajaan negeri serta pelaksanaannya dibantah penduduk negeri yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar.