Sektor korporat dalam negara digesa mengambil bekas atlet-atlet negara bagi meneruskan kehidupan mereka dengan karier baharu, selepas mereka bersara daripada bidang sukan masing-masing.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim Chee Keong yang membuat gesaan itu berkata badan-badan korporat itu boleh mengambil mereka untuk bekerja sama ada sebagai jurulatih bidang sukan berkaitan yang sesuai, atau sebagai pekerja biasa.

Beliau berkata kejohanan-kejohanan liga korporat adalah platform terbaik untuk penerusan karier bekas atlet-atlet kebangsaan ini selepas mereka bersara daripada bidang sukan.

Dengan merujuk kepada Kejohanan Badminton Korporat Senheng Purple League 2019 sebagai contoh, beliau berkata kejohanan itu membantu bekas pemain-pemain badminton kebangsaan untuk terus bermain badminton secara aktif walaupun telah bersara.

"Lebih penting lagi, kita mahukan program ini menjadi tempat pertemuan antara sektor korporat dan atlet-atlet kita supaya diharapkan ada antara mereka yang dapat mengiktiraf jaguh-jaguh seperti Ong Ewe Hock (bekas pemain badminton negara), yang telah memberikan sumbangan besar kepada negara," katanya semasa berucap di majlis penutup kejohanan, dan penyampaian hadiah kepada pemenang di Arena Sukan Lee Chong Wei, di sini pada Ahad.

Syarikat peralatan elektrik dan perabut untuk isi rumah, LionMas mengungguli kejuaraan sulung kejohanan selepas menewaskan syarikat Top Glove 9-4 dalam perlawanan akhir, dan membawa pulang hadiah berupa tunai RM50,000, trofi kejuaraan dan juga pingat, manakala Top Glove menerima hadiah tunai RM25,000 dan pingat.

Syarikat telekomunikasi red ONE (redPHOENIX) memenangi perlawanan klasifikasi ketiga/keempat dengan menewaskan syarikat insurans AIG, 10-4, dan meraih hadiah tunai RM15,000, manakala AIG membawa pulang tunai RM10,000.

Lapan syarikat korporat mengambil bahagian dalam edisi sulung kejohanan ini, yang terdiri daripada Pensonic, LionMas, red ONE (redPHOENIX), SenQ, OPPO, Top Glove, AEON Credit Service dan AIG.

-- BERNAMA