Syarikat korporat dan swasta dibenarkan memohon untuk memiliki nombor pendaftaran khas kenderaan bermula 26 Julai (Jumaat), kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Shaharuddin Khalid.

Beliau berkata setiap permohonan syarikat dikenakan bayaran sebanyak RM5 juta di mana pemohon yang berjaya akan diberikan nombor bermula dari angka 1 sehingga 1,000, manakala bayaran RM1 juta akan dikenakan bagi permohonan 1,000 nombor berikutnya bermula dengan nombor 1,001.

Memberikan contoh sekiranya syarikat PETRONAS berminat untuk memiliki nombor pendaftaran khas kenderaan, nombor pendaftaran pada kenderaan akan bermula dengan PETRONAS diikuti nombor 1 sehingga nombor terakhir, katanya.

Shaharuddin berkata syarikat pemohon juga dibenarkan menjual nombor pendaftaran yang diperoleh pada nilai yang ditetapkan masing-masing kepada pihak yang berminat untuk mereka menjana pendapatan tambahan.

"Siri nombor khas itu dibenarkan dijual sepanjang masa sehingga angka terakhir," katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat sempena mengumumkan pelaksanaan JPJeBid di Pulau Pinang bagi siri nombor pendaftaran PPC yang akan bermula pada 2 hingga 6 Ogos depan.

Shaharuddin berkata kebenaran itu diberikan susulan langkah kerajaan memberi kelonggaran kepada universiti awam (UA) untuk mempunyai nombor pendaftaran khas kenderaan bagi menjana pendapatan universiti.

Pada Khamis, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dilaporkan berkata kerajaan memberi kelonggaran kepada UA mempunyai nombor pendaftaran khas kenderaan di mana dana menerusi penjualan nombor plat khas itu boleh digunakan untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan universiti.

Loke dilaporkan berkata bayaran sebanyak RM500,000 dikenakan bagi setiap permohonan nombor plat khas itu dan UA akan diberikan sebanyak 10,000 nombor bermula dari nombor 1 sehingga 9999, dengan tempoh tiga tahun diberikan untuk menjalankan penjualan nombor tersebut.

Loke ketika mula mengambil alih jawatan Menteri Pengangkutan dilaporkan berkata nombor pendaftaran khas kenderaan tidak lagi akan diberi kepada badan bukan kerajaan (NGO) atau pihak persendirian.

Dalam pada itu, Shaharuddin berkata sebanyak RM9.6 juta berjaya dijana kerajaan melalui penjualan tujuh siri nombor pendaftaran sejak sistem JPJeBid dilaksanakan pada April lepas.

Tujuh siri nombor itu melibatkan Wilayah Persekutuan Putrajaya (FC), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (VDN, VDP, VDQ, VDR, VDS) diikuti Kedah dengan nombor KET, katanya.

Bidaan dalam JPJeBid adalah mengikut harga minimum ditetapkan iaitu nombor bernilai utama RM20,000, nombor menarik RM3,000 dan nombor popular serta nombor biasa masing-masing RM800 dan RM300, katanya.

-- BERNAMA