Syarikat-syarikat di rantau ASEAN hanya mencapai skor 2.1 daripada sembilan mata dari segi pelaksanaan dan mengutamakan hak kanak-kanak dalam amalan syarikat dalam tempoh lima tahun ini.

Pengerusi Global Child Forum, Ulf Karlberg berkata ia berdasarkan kajian ke atas 289 syarikat yang beroperasi di ASEAN termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura, Vietnam dan Filipina, meliputi sembilan sektor industri.

Karlberg berharap skor indeks itu akan meningkat ke paras sekurang-kurang lima mata dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Berbanding dengan indeks global, indeks di rantau ini masih di belakang. Walaupun ia lebih baik daripada beberapa negara di Asia Barat dan Afrika Utara, namun ia masih rendah.

“Memandangkan rantau ini dinamik dengan populasi 600 juta orang, kami berharap syarikat-syarikat di ASEAN akan mendapat prestasi lebih baik.

“Kami harap syarikat-syarikat ini akan mula mementingkan hak kanak-kanak dan ia perlu dimulakan pada peringkat perlembagaan syarikat itu sendiri. Dari situ, kita boleh lihat prestasi (indeks) akan bertambah baik,” kata Karlberg dalam satu sidang media di Global Forum Kanak-Kanak di sini hari ini.

Sembilan penunjuk aras dalam kajian melibatkan dasar buruh kanak-kanak, hak kanak-kanak selain buruh, prestasi dalam laporan, tanggungjawab ahli lembaga, rujukan kepada piawaian antarabangsa, kerjasamana dengan organisasi bukan kerajaan, taksiran materialiti, memacu program strategik dan kebajikan berkaitan hak kanak-kanak.

Selain itu, walaupun kajian menunjukkan 70 peratus daripada syarikat di ASEAN sudah aktif menjalankan program yang mempromosikan hak kanak-kanak, hanya tiga peratus memberi penyelesaian kepada pelbagai isu berkaitan kanak-kanak pada peringkat lembaga.

Karlberg menekankan syarikat-syarikat perlu memahami isu-isu yand didepani kanak-kanak dan meneliti hak kanak-kanak yang wujud, kemudian membentuk polisi oleh ahli lembaga syarikat.

“Ahli lembaga syarikat perlu ambil tanggungjawab ini dan kemudian dilaksanakan kepada pihak pengurusan syarikat dan seterusnya ke seluruh syarikat.

“Mereka (syarikat) perlu lakukan audit, bentangkan keputusan melibatkan kejayaan ataupun kegagalan dalam usaha ini supaya ia dapat terus diperbaiki,” kata Karlberg.

Forum Global Kanak-Kanak kali ini melibatkan 250 pemimpin dari ASEAN dan ia dikendalikan oleh keluarga DiRaja Sweden, H.M King Carl XVI Gustaf of Sweden dan H.M Queen Silvia of Sweden dalam usaha meningkatkan lagi kesedaran dan amalan hak kanak-kanak di rantau ini.

Malaysia sebagai negara ASEAN telah dipiih bagi Forum Global Kanak-Kanak di peringkat Asia Tenggara kerana faktor kepesatan, pembangunan ekonomi dan komunikasi di ASEAN dan mahu memastikan syarikat-syarikat di rantau ini mengetahui dan melaksanakan hak kanak-kanak dan menyokong Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (CRC).