Syarikat telekomunikasi terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM10 juta setahun akibat kecurian kabel menara telekomunikasi, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari.

Beliau berkata pihaknya kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab individu yang melakukan perbuatan tersebut.

"Kita kesal apabila kadangkala berlaku kecurian kabel dan inilah masalah serta cabaran utama kerana kita dapati dianggarkan sejumlah RM10 juta kos kecurian kabel berlaku di seluruh negara setahun.

"Kita sememangnya mengharapkan kerjasama daripada penduduk tempatan dan pihak berkuasa agar memastikan kadar jenayah dapat dikurangkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) Chapu, Felda Mengkawang, Menerong dan Padang Tera di Kampung Chapu di sini pada Ahad.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri Datuk Rozi Mamat dan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Wilayah Timur Md Rusli Ahmad.

Dalam perkembangan lain, Jailani berkata pihaknya menerusi SKMM akan sentiasa berusaha meningkatkan kadar capaian jalur lebar di seluruh negara.

"Kos pembinaan setiap menara dianggarkan mencecah sehingga RM1.2 juta, bagaimanapun kos pembinaan itu akan meningkat mengikut keadaan terutamanya apabila melibatkan kos pengambilan tanah, akses jalan masuk ke tempat pembinaan dan sebagainya.

"Kita juga akan terus melaksanakan pembinaan infrastruktur ini kerana kita dapati terdapat kawasan yang kadar liputannya masih kurang dan ini dalam penilaian SKMM...mungkin ada lagi pembinaan menara selepas ini," katanya.

Jailani yang juga anggota Parlimen Hulu Terengganu, berkata Terengganu kini mempunyai 83 menara telekomunikasi dengan beberapa lagi dirancang dibina di kawasan kurang liputan termasuk di daerah ini.

Dalam pada itu, beliau berkata PI1M di Kampung Chapu akan dijadikan Pusat Pengumpulan dan Agihan Produk Tempatan yang pertama di Semenanjung.

"Selain dijadikan tempat untuk mengakses internet, penduduk dapat menjana ekonomi yang mana mereka dapat menjual produk secara dalam talian.

"Kita akan bekerjasama dengan Pos Malaysia yang akan memungut produk yang dikumpul berkenaan bagi proses penghantaran kepada pembeli," katanya.

Jailani berkata enam lagi PI1M di Hulu Terengganu adalah di Felda Tersat, Kampung Chepoh, Felda Bukit Bading, Kampung Pasir Tinggi, Felda Jerangau Barat dan Kampung Lerek.

-- BERNAMA