Kesemua syarikat telekomunikasi telah bersetuju menawarkan akses tanpa had untuk panggilan ke Crisis Preparedness and Relief Centre (CPRC), kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Selain itu, Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata, syarikat telekomunikasi berkenaan turut bersetuju menyediakan talian tambahan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Ini bagi memastikan perkhidmatan agensi-agensi ini beroperasi pada tahap optimum, sekaligus membolehkan penyaluran maklumat penting kepada rakyat mengenai Perintah Kawalan Pergerakan dan situasi semasa wabak COVID-19.

“Penyedia perkhidmatan juga telah menyediakan inisiatif masing-masing, dan butiran lanjut mengenainya akan diumumkan oleh penyedia perkhidmatan itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, kesemua syarikat telekomunikasi berkenaan telah mewujudkan pelan kesinambungan perniagaan untuk memastikan rangkaian, aplikasi dalam talian, dan perkhidmatan pelanggan beroperasi seperti biasa, biarpun negara sedang dilanda COVID-19.

“Usaha-usaha yang telah dilaksanakan juga untuk memastikan keupayaan rangkaian komunikasi adalah mencukupi serta mengukuhkan prestasi rangkaian untuk menampung peningkatan penggunaan di sekitar lokasi kritikal umpamanya klinik, hospital, balai polis dan pejabat-pejabat Kerajaan.

“Ini akan membolehkan rakyat di negara ini terus mendapat akses kepada perkhidmatan untuk berkomunikasi, menjalankan perniagaan, selain mendapatkan maklumat dari sistem penyampaian kerajaan, sekaligus dapat menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya lagi.

Langkah itu, kata Saifuddin lagi, membuktikan komitmen syarikat telekomunikasi, penyiaran, serta pos dan kurier dalam memastikan perkhidmatan teras dapat terus disampaikan kepada rakyat.

“Ucapan terima kasih saya tujukan kepada syarikat-syarikat telekomunikasi iaitu Celcom, Digi, Maxis, Telekom Malaysia, TIME Dotcom, Tune Talk, U Mobile, Webe, XOX dan YES. Komitmen anda semua dalam membantu rakyat dalam detik sukar ini wajar dicontohi oleh pihak lain.

“Terima kasih turut saya ucapkan kepada pihak Pos Malaysia dan syarikat kurier seperti GDEX, City-Link dan J&T Express atas usaha mereka meneruskan perkhidmatan penghantaran mereka dengan mengurangkan sentuhan dan juga tanpa sentuhan (contactless delivery) demi keselamatan dan kesihatan pelanggan,” katanya lagi.