Keluarga lima rakan sekampung yang terkorban dalam kebakaran premis perniagaan di Kawasan Perindustrian Jelapang Maju, akhir tahun lalu, menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini dalam suasana hambar.

Persiapan keluarga mereka di Kampung Seri Aman, Ipoh, Perak, hanya ala kadar, tidak semeriah ketika kelima-lima rakan itu ada.

Mohammad Nor Ikram Mohd Husni, Mohammad Nuraiman Abdul Rahman, Mohamad Ekmal Izzuddin Mohd Kamari, Ahmad Faizal Aminudin dan Muhamad Azhar Shah Rosli, terkorban dalam kebakaran pada 11 Disember tahun lalu.

Semasa kejadian, mereka bekerja secara sambilan di sebuah syarikat pengaturcara majlis untuk mencari wang saku ketika cuti sekolah.

BACA: Enam maut dalam kebakaran rumah kedai di Ipoh

Aminudin Tan berkata, sejak kehilangan anaknya, Ahmad Faizal, kehidupan mereka sekeluarga seolah-olah kosong.

“Saya rasa sambutan Hari Raya tahun ini tidak semeriah tahun lalu kerana anak yang saya saying pergi dulu. Saya rasa sunyi sangat.

“Raya tahun ini saya rasa kosong sangat, saya pun tidak tahu nak kata macam mana. Namun kita redha sahaja dengan pemergiannya,” jelasnya.

Bagi Noraziah Ropangi, dia dan keluarga masih merindui keletah anaknya, Mohammad Nor Ikram Mohd Husni, yang paling riuh setiap kali menjelang Aidilfitri.

“Makanan kegemarannya adalah lemang. Diab oleh habiskan separuh lemang dan separuh lagi dia pastu akan berkongsi dengan kawan-kawan dia.

“Jadi sambutan tahun ini sederhana sahaja dan tidak semeriah dulu,” katanya.