Ahli perniagaan terkemuka, Tan Sri Syed Azman menyokong cadangan supaya kerajaan menurunkan harga kereta.

Menurut Pengarah Urusan Weststar Group itu, rakyat Malaysia membayar terlalu banyak cukai untuk memiliki sebuah kenderaan.

"Kita bayar duti import, duti eksais, kita bayar cukai jualan, dan kita bayar cukai jalan. Lepas tu kita bayar tol pula, jadi anda boleh bayangkan berapa banyak kos untuk memiliki kereta? " katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian antara Weststar Aviation Services Sdn Bhd dan Kohlberg Kravis Roberts ( KKR ) pada Khamis.

Beliau berkata suatu ketika dahulu, dia hanya membelanjakan RM7, 000 untuk memiliki kereta pertamanya tetapi kini harga kereta begitu mahal.

"Saya rasa kerajaan perlu menghapuskan beberapa cukai, mungkin menghapuskan cukai jalan , tiada lagi cukai jalan kerana kita bayar terlalu banyak pada duti eksais," katanya.

Beliau juga mencadangkan kerajaan supaya melupuskan cukai import dan duti eksais dengan memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan ( GST).

Weststar Group telah menjadi pembekal utama kereta import mewah melalui anak syarikatnya, SAFZ Auto dan juga pembekal kenderaan Honda di seluruh negara melalui Weststar Auto Sdn Bhd.

Baru-baru ini sebuah portal popular, Jalopnik, menyenaraikan Malaysia sebagai negara kedua paling mahal untuk membeli kereta, di belakang Singapura dalam artikel bertajuk 10 Tempat Paling Mahal Untuk Beli Kereta (The 10 Most Expensive Places To Buy A Car).

Artikel yang diterbitkan pada bulan lepas, memuatkan keluhan rakyat Malaysia mengenai isu harga kereta terutama di kalangan rakyat biasa.

Satu kajiselidik di laman web pengeluar kereta terkemuka mendedahkan bahawa rakyat Malaysia membayar sehingga dua kali apa yang pengguna Amerika bayar untuk kereta yang sama di Amerika.

Malah, menurut laporan itu harga kereta di Malaysia adalah tinggi berbanding negara-negara ASEAN, terutamanya Thailand.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Paul Selvaraj berpendapat ini adalah masa yang terbaik untuk kerajaan menurunkan harga kereta terutamanya selepas pengurangan subsidi petrol baru-baru ini.

Ketua Ekonomi Kumpulan di Ratings Agency Malaysia Berhad, Dr Yeah Kim Leng, turut bersetuju dengan pandangan bahawa harga kereta perlu diturunkan.