Aktivis sosial, Syed Azmi Alhabshi menggesa golongan ibu bapa agar lebih berwaspada sewaktu memuat naik gambar anak-anak mereka di media sosial bagi menangani isu pedofilia yang kembali hangat diperkatakan kini.

Menerusi satu kenyataan yang disiarkan dalam akaun Facebook, Syed Azmi berkongsi rakaman gambar pegun perbualan berbaur lucah sekumpulan individu yang mengunakan gambar kanak-kanak di media sosial sebagai bahan pemuas nafsu.

Dipercayai kumpulan tersebut memiliki lebih 700 ahli yang bersembang dengan menggunakan bahasa kesat.

Menurut Syed, insiden itu dipercayai berlaku pada Januari lalu, namun beliau meminta rakan yang menghantar gambar itu untuk membuat laporan polis.

“Saya minta maaf bahawa terpaksa ‘blur’ gambar itu kerana saya telah meminta penghantar untuk membuat laporan polis mengenai perkara ini.

“Saya percaya ia adalah perkara yang betul untuk dilakukan. Biar polis melakukan kerja mereka,” tulisnya.

Facebook Syed Azmi
Kredit gambar: Facebook Syed Azmi

Mengulas isu pedofilia di Malaysia, Syed menekankan dua perkara yang perlu diberi perhatian.

Yang pertama, beliau menasihati ibu bapa agar lebih berhati-hati apabila memuat naik gambar penuh anak mereka di media sosial. Hal ini kerana, gambar-gambar berkenaan boleh dieksploitasi.

“Gambar-gambar itu boleh diedarkan dan digunakan dengan cara yang salah. Ini juga satu peringatan kepada diri saya dan keluarga saya.

“Nampak macam tidak berbahaya tetapi apabila foto mangsa dieksploitasi, ia sudah terlambat untuk dihindari,” kata Syed.

Syed juga menekankan bagaimana budaya berfikiran terbuka perlu dielakkan, terutamanya di hadapan kanak-kanak.

Menurut aktivis itu, ada segelintir kanak-kanak yang ingin mencuba apa yang mereka dengar ataupun tonton.

“Saya tidak percaya pedofilia atau peminat video lucah merupakan penyakit genetik. Perbuatan itu wujud dengan keinginan sendiri.

“Inilah sebabnya mengapa dalam budaya kita, kita tidak boleh berbincang semua perkara di hadapan anak-anak kerana kita tidak tahu bagaimana fikiran mereka berfungsi,” jelas Syed.

Selain itu, Syed juga menyatakan tagline iklan-iklan yang berunsur seksual seperti, "ketat rapat baru sedap", "suami lemas dalam dakapan", "panjang puas" meninggalkan kesan yang serius kepada masyarakat.

Beliau turut berkata ia adalah tanggungjawab sosial untuk mendidik antara satu sama lain.

"Kita perlu bekerjasama, mendidik antara satu sama lain mengenai perkara ini," Syed akhiri postingnya.