UMUM mengetahui Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjanji akan membotakkan kepalanya seandainya sasaran kempen mengutip sumbangan membeli 100 buah komputer riba berjumlah RM200,000 tercapai.

Tindakan 'berani’ dan  kreatif Pengasas Parti MUDA ini adalah sebahagian daripada kempen untuk mengutip dana bagi membeli sebuah komputer riba untuk 100 orang pelajar dalam kawasan Parlimen beliau.

Sekiranya sasaran beliau tercapai, bekas Menteri Belia dan Sukan itu akan membotakkan kepalanya secara langsung di Saluran 501 Astro AWANI dan Live TV Digital pada jam 8.30 malam ini. 

Itu janji beliau selepas cabaran diberikan sendiri oleh penyampai berita Astro AWANI, Luqman Hariz untuk Syed Saddiq melunaskan janji beliau secara langsung.

Syed Saddiq dengan selamba menyahut cabaran berkenaan!


Bagaimanapun mengikut twit terbaharu Syed Saddiq, ketika ini 'Kempen 1 Rumah 1 Komputer' itu telah berjaya mengutip sumbangan berjumlah RM185,960.


BACA: Syed Saddiq junjung kasih TMJ bantu rakyat Muar, mohon maaf atas kesilapan


Adakah Syed Saddiq berjaya mencapai sasarannya, pastinya semuanya akan terjawab malam ini?


Syed Saddiq melancarkan kempen tersebut pada Sabtu lepas dan melalui #BotakChallenge beliau berjanji akan membotakkan kepala jika berjaya mengutip sumbangan berjumlah RM200,000.

Persoalannya, siapa individu bertuah yang akan membotakkan kepala Syed Saddiq malam ini?

Ada yang berani nak menonton?


*Aksi Menteri Belia dan Sukan itu akan membotakkan kepalanya akan disiarkan secara langsung di Saluran 501, Live TV Digital dan semua platform media sosial Astro AWANI pada jam 8.30 malam ini.