Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman buat pertama kali mengumumkan akan menubuhkan satu rangkaian rasmi atau global network bagi pelajar-pelajar Malaysia di luar negara.

Perkara tersebut dinyatakan ketika lawatan beliau ke London pada Sabtu.

Penubuhan rangkaian itu perlu kerana suara pelajar di luar negara sering kali tidak didengari kerana jarak yang memisahkan.

Apatah lagi dengan kurangnya saluran untuk mereka menyuarakan pandangan dan membangkitkan cadangan kepada Kabinet.

Tegas beliau, golongan muda tidak kira di dalam atau luar negara yang telah membantu mengubah sejarah Malaysia baru-baru ini. Lantas, walau jauh dari tanah air, suara anak muda kini perlu diberi perhatian.

Menurut beliau, rangkaian ini akan berfungsi seperti rangkaian sedia ada kini, misalnya Majlis Perundingan Belia Negara dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di institusi-institusi pengajian tinggi awam (IPTA), namun akan diwujudkan khas untuk pelajar-pelajar di luar negara.

Dianggarkan lebih 50 pelajar menghadiri pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan itu. - Foto Astro AWANI/Izza Izelan

Rangkaian ini kemudiannya akan berbincang dan hasil rundingan serta isu-isu yang dibangkitkan akan dibentangkan kepada Menteri Belia dan Sukan untuk dipanjangkan ke Kabinet.

Hal ini penting agar anak muda secara kolektif terlibat dalam pembentukan dasar untuk negara.

Syed Saddiq turut menekankan bahawa beliau tegar untuk memperkasakan suara anak muda dalam pembangunan negara.

Syed Saddiq bercakap pada ‘Sesi Interaksi YB Menteri Belia dan Sukan Malaysia Bersama Komuniti Malaysia di London’ yang diadakan pada 25 Ogos 2018 di Suruhanjaya Tinggi Malaysia, London. Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Mohd. Suhaimi Jaafar dan Ahli Dewan Rakyat, Zairil Khir Johari.

Selain itu, Syed Saddiq turut menyentuh isu berkenaan budaya “takut” pelajar-pelajar Malaysia di luar negara yang merupakan pemegang biasiswa pengajian tinggi oleh kerajaan.

Tegas Syed Saddiq, golongan muda tidak kira di dalam atau luar negara yang telah membantu mengubah sejarah Malaysia baru-baru ini. -Foto Astro AWANI/Izza Izelan

Menurut beliau, hasil dari perbualannya dengan beberapa pertubuhan dan wakil-wakil pelajar di luar negara, kebanyakan pemegang biasiswa ini takut untuk menyuarakan pendapat mereka kerana khuatir dilihat sebagai mengkritik kerajaan. Lantas, biasiswa mereka akan ditarik sebagai hukuman.

Syed Saddiq menegaskan beliau tidak mahu budaya ini wujud lagi kerana kerajaan baru Malaysia ingin mendengar maklum balas serta pandangan dari anak muda agar sistem urus tadbir sentiasa dibaikpulih.

Dianggarkan lebih 50 pelajar turut hadir pada pertemuan itu.