Dua keping syiling yang ditemui di Pulau Nangka pada 30 April lalu dipercayai tidak berfungsi sebagai mata wang.

Kajian yang dilakukan ke atas syiling terbabit mendapati, berdasarkan tulisan Jawa kuno yang terdapat pada medal tersebut, ia digunakan sebagai tangkal azimat masyarakat pada zaman ketika itu.

Syiling tersebut juga berkemungkinan boleh ditemui di tebing Sungai Melaka termasuk di sekitar kawasan runtuhan kota-kota lama.

Kumpulan pencarian kedua dijangka memulakan tugas pencarian selepas kontraktor ketika ini, Smart Partnership International (M) Sdn Bhd selesai melakukan percubaan terakhir pencarian.

Bagaimanapun, tempoh percubaan terakhir itu belum dapat dipastikan selepas kerja pencarian dijalankan tanpa kontrak sejak 1 Mei lalu.

Pada 1 Mei lalu, syarikat Smart Partnership International menemui dua keping syiling emas itu semasa kerja-kerja pengorekan yang dilakukan di salah sebuah lubang yang dipercayai di dalamnya terdapat harta berkenaan.

Pengarah Urusan syarikat, Mohammad Foad Khushairy Mohd Said sebelum ini berkata, berdasarkan imej imbasan, mereka menjangkakan terdapat 96 peti besi yang mengandungi pelbagai harta yang katanya disembunyikan ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka bagi mengelak diceroboh pihak Portugis.