Ketua Jabatan sebuah hospital di Lembah Klang yang didakwa melakukan gangguan seksual ke atas doktor pelatih di bawah seliaannya disyorkan digantung tugas.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad dalam satu kenyataan memaklumkan perkara itu adalah hasil keputusan jawatankuasa siasatan bebas yang ditubuhkan melalui kerjasama kementeriannya dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Langkah penggantungan tugas itu dibuat berdasarkan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Menurut kenyataan itu lagi, satu laporan akan diserahkan kepada Majlis Perubatan Malaysia (MPM) untuk menyiasat ketua jabatan berkenaan berhubung salah laku melibatkan kakitangan profesional berdasarkan peruntukan yang disediakan di bawah Akta Perubatan 1971.

Pada 31 Julai lalu, sebuah akhbar tempatan melaporkan seorang Ketua Jabatan Ortopedik di sebuah hospital di Lembah Klang telah melakukan gangguan seksual terhadap beberapa Pegawai Perubatan Siswazah (PPS) di bawah seliaannya.

Susulan itu, KKM menubuhkan jawatankuasa siasatan bebas dan memanggil 17 individu berhubung kes gangguan seksual berkenaan.