Ibu kepada bayi yang diculik ketika waktu sahur dari sebuah rumah di Muar pada Rabu meluahkan rasa syukur apabila anaknya kembali ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat.

Siti Noorfadilah Yusofe, 30, juga berterima kasih kepada semua yang terlibat hingga membawa kepada penemuan Nur Aisyah Hasmizan kurang 24 jam selepas dilaporkan hilang.

“Alhamdullilah, dia kembali kepada saya dalam keadaan bernyawa walaupun begini rupa, saya sangat beryukur.

“Keadaan Aisyah sekarang belum mendapat kata putus daripada pihak hospital sama ada serius atau tidak berhubung rawatan masih sedang dijalankan."

Menurut Siti Noorfadilah, hasil pemeriksaan susulan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar mendapati keadaan anaknya yang bernanah di bahagian mulut, mata dan leher itu adalah disebabkan gigitan serangga.

"Alhamdullilah pelaku tak pukul Aisyah. Dari X-ray yang dibuat, Aisyah jadi seperti ini kesan dari gigitan semut, nyamuk dan binatang-binatang kecil,” kata Siti Noorfadilah dalam satu kenyataan di akaun Facebook miliknya.

Bayi perempuan berusia 17 bulan yang diculik oleh warga asing awal pagi Rabu itu dilaporkan ditemukan di kawasan semak-samun berhampiran pencawang elektrik TNB dalam keadaan luka yang teruk.

Posting Siti Noorfadilah di akaun Facebook miliknya.

Tambah Siti Noorfadilah, dia dan suami sangat terkesan dengan insiden tersebut dan tidak mahu memberi kenyataan berlebihan supaya tidak merumitkan siasatan pihak polis.

Siti Noorfadilah menganggap kejadian itu sebagai takdir dan sebagai ibu, dia hanya inginkan yang terbaik buat anaknya.

“Percaya la, saya dan suami serta keluarga sangat terkesan dengan kejadian ini.

“Ya, saya sebagai mama Aisya pun tidak dapat beri kenyataan lebih. Kita serahkan kepada pihak polis ya kerana mereka lebih layak jalankan tugas.

“Tapi siapa kita untuk lawan takdir? Saya tidak pinta kejadian seperti ini berlaku, anak-anak saya adalah nyawa saya,” ujarnya lagi.

Keadaan Aisyah yang bernanah di bahagian mulut, mata dan leher didakwa disebabkan gigitan serangga.

Sementara itu, ibu saudara mangsa, Jamilah Yusofe, 32, ketika dihubungi Astro AWANI memberitahu hanya keluarga sahaja yang dibenarkan melawat Nur Aisyah di hospital.

“Adik Aisyah sekarang masih di hospital, tiada siapa yang dibenarkan melawat kecuali ibu dan bapanya. Keadaan dia stabil cuma trauma,” tambahnya.

Sementara itu, bagi memastikan perkara ini tidak berulang, Siti Noorfadilah dan keluarga mengambil langkah untuk memperbaiki sistem keselamatan di rumah.

Beliau juga mahu insiden ini menjadi pengajaran yang berguna buat kesemua ibu bapa, agar isu keselamatan perlu diberi perhatian, walaupun di kediaman sendiri.

“Memang kami mahu mula perbaiki semula rumah itu, dia punya sistem keselamatan kerana takut juga jadi lagi, kan?

“Kena lebih berjaga-jaga kalau boleh kerana kejadian itu berlaku semasa saya peluk anak saya dan tiba-tiba bangun tidur, anak sudah tiada. Insiden seperti ini memang tidak boleh dielak, tetapi harus berwaspada dengan keadaan rumah,” tegasnya.

BACA: Bayi 17 bulan dilarikan ketika sahur

BACA: Diculik selepas sahur, adik Nur Aisyah dijumpai dengan gigitan serangga