Sebanyak 111,329 pendeposit baharu Tabung Haji (TH) dicatatkan bagi tempoh Januari hingga April tahun ini, walaupun institusi itu berdepan tohmahan pelbagai pihak, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata usaha memperbaiki persepsi dan meningkatkan keyakinan pendeposit terhadap TH telah berjaya dengan 24,984 pendeposit baharu diperoleh pada April lepas sahaja.

Beliau berkata bilangan pendaftaran haji baharu pula adalah sebanyak 40,242 orang sepanjang April 2016.

"Yang menariknya, walaupun dicelah-celah tohmahan yang dilemparkan terhadap institusi ini, TH masih mencatatkan peningkatan dalam jumlah pendepositnya," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (BN-Setiu) yang ingin tahu langkah mengatasi masalah pendeposit TH daripada berterusan menutup akaun dan membatalkan daftar haji.

Asyraf Wajdi berkata bagi tempoh 1 Feb hingga 31 Mac lepas, sebanyak 3,954 pendeposit telah menutup akaun TH mereka manakala 3,105 orang telah membatalkan daftar haji akibat menjadi mangsa hasutan fitnah yang dilemparkan terhadap insitusi itu.

Beliau berkata TH akan mengambil tindakan undang-undang serta membuat laporan polis terhadap pihak tertentu yang sengaja menyebarkan fitnah.

Katanya TH juga sentiasa memantau kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak tertentu di media massa dan media sosial dari masa ke masa.

"Sekiranya terdapat penyebaran maklumat tidak tepat, langkah memberikan penjelasan dengan fakta tepat dan sahih melalui sidang media oleh pengurusan TH dan kenyataan akhbar akan dilakukan," katanya.

Katanya TH akan memuat naik maklumat melalui laman sesawang dan media sosial, mengambil bahagian dalam wawancara, kursus, ceramah dan bengkel sebagai platform penyebaran maklumat.