Tabung Haji (TH) melaksanakan 11 badal haji bagi Musim Haji 1436H untuk jemaah Malaysia yang meninggal dunia sebelum hari Wukuf pada 23 September lepas.

Daripada 11 badal haji itu, tujuh adalah untuk jemaah yang terkorban dalam tragedi kren tumbang di Masjidil Haram pada 11 September lepas.

Tujuh jemaah berkenaan ialah Rusiah Suar, 56, dari Sungkai, Perak; Siti Nurolshlizan Zolkifli, 37, dari Tanah Merah; Rohana Ismail, 54, dari Kuala Krai; dan Munah Jusoh, 73, dari Cherang Ruku, Kelantan; Zainun Taha, 69, dari Ampang, Selangor; Shahidan Saad, 52, dari Kodiang, dan Abdul Habib Lahman, 68, dari Sik, Kedah.

Pengurus Operasi Bimbingan TH Tengku Aziz Raja Abdullah berkata empat lagi badal haji melibatkan jemaah Malaysia yang meninggal dunia sebelum hari wukuf.

“Sebanyak 16 kematian melibatkan jemaah haji Malaysia untuk musim haji ini dengan 11 daripadanya kita laksanakan badal haji sementara empat lagi akan dilaksanakan untuk musim haji depan. Seorang lagi jemaah pernah menunaikan haji (badal haji tidak perlu dilakukan untuk jemaah yang pernah menunaikan haji)," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Badal haji merupakan perkhidmatan tambahan TH untuk mereka yang sudah meninggal dunia atau menghidapi penyakit yang tidak mungkin sembuh.

TH melakukan badal haji tahun ini untuk empat jemaah yang meninggal dunia pada hari Wukuf dan belum menyelesaikan beberapa rukun dan wajib haji seperti melontar, tawaf dan saie.

Empat jemaah lagi, yang badal hajinya akan dilakukan TH pada musim haji depan, meninggal dunia akibat sakit jantung atau sesak nafas, sebelum menjelangnya hari Wukuf.

Tengku Aziz juga berkata hari ini, lebih 22,000 jemaah haji Malaysia selesai melaksanakan ibadat haji masing-masing selepas menyempurnakan semua rukun dan wajib haji.