Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyangkal dakwaan kononnya badan itu mengalami kerugian menerusi pelaburan saham yang dibuat.

Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Johan Abdullah berkata RM3.09 bilion yang didakwa sebagai nilai susut saham merupakan saham yang masih belum dijual (AFS - Available For Sale).

Katanya, Nilai Aset Boleh Direalisasi syarikat itu berjumlah RM64.74 bilion sekaligus mampu membayar keseluruhan wang deposit jika diminta pada 31 Disember 2015.

"Pada tempoh sama, jumlah simpanan bersih TH yang merangkumi jumlah semua simpanan masuk setelah ditolak semua pengeluaran adalah sebanyak RM4.97 bilion.

"Malah, kita ada lebihan aset bersih bernilai RM1.44 bilion pada tempoh sama," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Katanya, setiap simpanan pendeposit adalah terjamin termasuk oleh Kerajaan.

Malah, selama 53 tahun beroperasi, TH tidak pernah gagal untuk memenuhi permintaan pengeluaran wang simpanan oleh pendeposit.

"TH tidak bersandarkan simpanan bersih pendeposit untuk membayar bonus. Pembayaran bonus adalah dari keuntungan TH dan bukan dari peningkatan simpanan bersih pendeposit," jelasnya.

Justeru, Johan berharap supaya tidak ada pihak yang sengaja menggunakan TH demi agenda politik masing-masing.

Semalam, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli sekali lagi menyerang TH apabila mendakwa badan pengendali ibadah haji negara itu berhadapan kedudukan kewangan yang lemah.

Setiausaha Agung PKR itu berkata, hasil analisanya sendiri mendapati untung sebenar TH hanyalah RM450 juta setelah mengambil kira susut nilai saham-saham yang menjadi pelaburannya.

Beliau berkata, jumlah itu diperolehinya mengambil kira keuntungan tahun semasa berjumlah RM3.535 bilion ditolak kepada susut nilai saham berjumlah RM3.09 bilion.