Tabung Haji (TH) tidak mengamalkan unsur pilih kasih dalam pemilihan jemaah haji Malaysia kerana peluang menunaikan haji berdasarkan sistem giliran dan penetapan kuota yang ditetapkan Kerajaan Arab Saudi.

Pengurus Besar Kanan Tabung Haji Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata kegagalan orang ramai memahami proses dan prosedur haji menyebabkan timbul pelbagai persepsi tidak benar mengenai agensi itu.

"Ketika ini terdapat 2.16 juta yang telah mendaftar dengan TH untuk menunaikan ibadah haji, sementara jumlah pendeposit pula seramai 8.9 juta dan ini menyebabkan tempoh menunggu adalah terlalu lama.

Kalau hendak daftar haji sekarang ni, dia akan tengok tahun peruntukan, tempoh menunggu adalah 87 tahun. Selain itu sistem kuota dikawal Kerajaan Arab Saudi dengan penetapan 27,900 jemaah mengerjakan haji," katanya pada sidang media di ibu pejabatnya di sini, hari ini.

Syed Saleh berkata sehingga kini lebih 73,000 rayuan diterima bagi permohonan menunaikan haji pada tahun ini, namun jumlah itu sukar untuk memenuhi kuota haji berdasarakan tahun lepas hanya sebanyak 22,320 orang.

Beliau turut menangkis persepsi individu yang yang memilih haji pakej diberi keutamaan menunaikan haji kerana setiap bakal haji yang terpilih ditawarkan mengerjakan haji secara Muassasah.

"Itu persepsi salah dan tidak tepat orang kaya dapat potong barisan kerana orang yang pergi haji, adalah orang yang terpilih saja, mereka sahaja yang boleh pilih sama ada hendak pergi dengan Muassasah atau nak pergi dengan pakej," katanya.

Beliau berkata pihaknya mempunyai 20 syarikat swasta termasuk anak syarikatnya TH Travel Sdn Bhd yang mempromosikan pakej haji.

Bagaimanapun, Syed Saleh menasihatkan bakal haji agar memilih pakej haji di bawah syarikat yang dilesenkan di bawah TH.

"Lesen syarikat ini hanya sah laku setahun, setiap kali musim haji kita akan pantau dan nilai prestasi syarikat tersebut, hanya syarikat yang memenuhi kriteria dan menunjukkan prestasi memuaskan dan pemarkahan 80 ke atas akan dipertimbangkan untuk dilesenkan pada tahun akan datang.

Beliau berkata sejak projek pembesaran Masjidil Haram dilaksanakan, kuota jemaah haji Malaysia telah dikurangkan sebanyak 20 peratus daripada kuota jemaah haji yang sebenar setiap tahun.

Katanya, setakat ini pihaknya tidak menerima maklum balas daripada Kerajaan Arab Saudi untuk menambah kuota haji pada tahun ini.