Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini membuat laporan polis mengenai pembelian sebidang tanah oleh Tabung Haji daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Tun Razak Exchange (TRX) di Kuala Lumpur.

AMK yang diwakili Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad memfailkan laporan tersebut di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Beliau yang ditemani Ahli Dewan Undangan Negeri Pandamaran, Ronnie Liu Tian Khiew tiba di balai polis sekitar jam 11 pagi.

Menurut Nik Nazmi, AMK di Kuala Lumpur dan beberapa buah negeri lagi secara serentak membuat laporan polis mengenai isu pembeli tanah tersebut.

laporan polis

Antara isu yang dibangkitkan Nik Nazmi adalah kewujudan tiga individu di dalam Tabung Haji yang juga memegang peranan dalam 1MDB.

Individu-individu yang dimaksudkan adalah Pengarah Urusan Tabung Haji, Tan Sri Ismee Ismail yang juga lembaga pengarah 1MDB, Dato’ Johan Abdullah, Timbalan Pengarah Urusan Tabung Haji dan Pengerusi anak Syarikat 1MDB serta Tan Sri Datuk Dr. Abdul Samad Haji Alias yang merupakan Ahli Panel Pelaburan Tabung Haji dan Ahli Panel Penasihat 1MDB.

Ini menimbulkan persoalan adakah wujudnya konflik berkepentingan atau pecah amanah semasa mengendalikan pembelian tersebut.

“Tabung Haji adalah satu dana awam dan selama ini ia ada rekod yang baik. Kini Tabung Haji terpalit isu 1MDB yang langsung menjejaskannya serta kebajikan pendeposit,” ujar Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat itu.

BACA: Tabung Haji sahkan pembelian hartanah di Tun Razak Exchange

BACA: Tabung Haji, sila beri penjelasan berhubung jual beli tanah TRX - Pemuda UMNO

BACA: Wang ini bukan milik Tabung Haji, kenapa guna untuk selamatkan 1MDB? - Tun M

Selain itu Nik Nazmi turut menyentuh jumlah pembelian tanah tersebut yang menyamai jumlah hutang 1MDB.

“Walaupun audit dari Tabung Haji menyatakan keputusan pembelian adalah satu langkah berisiko, namun mereka yang berkaitan mewakili dua badan ini berkemungkinan mempengaruhi keputusan pembelian,” tambahnya lagi.

Ronnie yang turut menemani Nik Nazmi membuat laporan polis mempercayai bahawa wang Tabung Haji adalah hak milik pendeposit dan tidak seharusnya digunakan untuk pembelian tanah.

“Tiada pihak yang seharusnya mengunakan dana ini untuk menyelamatkan 1MDB. Ini bukan sahaja masalah pendeposit di Tabung Haji tetapi ini adalah masalah berkaitan keadilan,” ujarnya.

Nazmi otai

Seorang lagi individu yang turut membuat laporan polis adalah Abdul Razak bin Ismail, 54. Razak mengatakan kerisauan mengenai duit simpanannya yang sepatut digunakan untuk menunaikan ibadah haji.

“Memang memeranjatkan bila mengetahui duit yang dideposit digunakan untuk beli aset. Ini bukanlah isu politik tapi isu rakyat,” katanya.