Tabung Harapan Malaysia (THM) akan ditutup pada pada 31 Disember ini, umum Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata, mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju untuk menutup Akaun Amanah THM pada tarikh tersebut, setelah tujuh bulan ditubuhkan.

"Semua rakyat Malaysia yang ingin menghulurkan derma bolehlah melakukannya sebelum 31 Disember," katanya.

THM ditubuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada 30 Mei untuk menerima dan memperakaunkan wang derma dan sumbangan daripada mana-mana orang perseorangan dan syarikat bagi membantu kerajaan menangani isu hutang negara.

Selaras dengan perkara tersebut, mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 Mei bersetuju dengan penubuhan THM di bawah peruntukan Subseksyen 9(1), Akta Tatacara Kewangan 1957 (Akta 61).

Lim berkata Jabatan Audit Negara (JANM) akan mengaudit Penyata Terimaan dan Bayaran Akaun Amanah THM bagi memastikan pengurusan THM dibuat secara teratur dan berintegriti.

Pelantikan firma audit luaran oleh Kementerian Kewangan bagi tujuan mengaudit akaun THM juga dibuat selaras dengan Seksyen 7 Akta Audit 1957, katanya.

"Ini adalah kerana THM melibatkan dana yang disumbang oleh rakyat untuk membayar hutang negara yang mencecah RM1 trilion ekoran skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB), dan kerajaan komited untuk terus telus dengan setiap sen yang diterima," katanya.

Menurut Lim, jumlah terkumpul THM sehingga 3 petang hari ini (29 Okt) adalah sebanyak RM196,322,746.30 yang merangkumi sumbangan yang diterima daripada mana-mana orang, organisasi atau badan serta faedah daripada pelaburan simpanan tetap yang ditadbir oleh JANM.

Katanya, kerajaan juga merafak sembah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di atas sumbangan baginda kepada THM.

Lim berkata walaupun jumlah yang disumbang oleh rakyat Malaysia daripada hasil titik peluh mereka masih tidak boleh dibanding dengan hutang yang diwarisi kerajaan, namun THM akan kekal menjadi simbol semangat taat setia dan patriotisme rakyat Malaysia untuk melangsaikan hutang negara.

"Keikhlasan kerajaan untuk memastikan sumbangan THM adalah berdasarkan keprihatinan kepada situasi hutang negara dicerminkan dengan penolakan tawaran sebuah syarikat negara asing untuk menderma RM100 juta kerana disyaki ada niat tertentu di sebalik sumbangan tersebut," tambahnya. -- Bernama