Kerajaan akan berbincang dan memperhalusi syarat-syarat pinjaman yang dikenakan kepada peminjam khususnya bagi permohonan bagi Tabung Infra Pelancongan dan Tabung Pelancongan.

Kedua-dua tabung tersebut masing-masing diletakkan di bawah SME Bank dan Bank Pembangunan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata beliau akan mengadakan perbincangan terbabit bersama Kementerian Kewangan dalam waktu terdekat.

Ini jelasnya berikutan rungutan dan aduan dari pemohon yang rata-ratanya adalah usahawan industri pelancongan yang gagal mendapatkan pinjaman dari bank-bank terlibat.

“Saya difahamkan bilangan peminjam-peminjam yang diluluskan terlalu sedikit dan pemohon yang memohon ramai.

“Ramai antara mereka ini dikatakan tidak dapat memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan pemberi pinjaman berikutan syarat-syarat yang dikenakan terlalu ketat hingga menyukarkan peminjam mendapatkan pinjaman khususnya Bumiputera,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

Menurut Mohamaddin, tujuan tabung-tabung ini diwujudkan adalah bagi membantu dan memberi pengalaman sebagai usahawan kepada bakal usahawan dan usahawan Bumiputera dan bukan Bumiputera namun kekangan syarat pinjaman dilihat menyekat hasrat itu.

“Saya akan berjumpa sendiri dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam tempoh terdekat ini bagi melihat perkara ini.

“Jika boleh kita mahu agar kelonggaran syarat dapat dibuat kerana kata akhir bagi maksud tindakan tersebut hanya dapat diputuskan oleh Kementerian Kewangan dan Bank Negara.

“Jika syarat-syarat ini tidak dilonggarkan saya bimbang usahawan-usahawan khususnya Bumiputera tidak dapat menikmati inisiatif murni kerajaan itu dan seterusnya menggagalkan usaha golongan usahawan terbabit untuk mengembangkan perniagaan atau berjaya dalam perniagaan mereka," katanya.

Tegasnya industri pelancongan yang terbukti banyak memberi pendapatan kepada negara, ini terbukti apabila negara berjaya merekodkan peningkatan perbelanjaan pelancong sebanyak RM21.4 bilion bagi suku pertama tahun ini berbanding hanya RM18.3 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

Tambah Mohamaddin melalui Tabung Infra Pelancongan yang diletakkan di bawah SME Bank, kerajaan telah memperuntukkan dana berjumlah RM500 juta yang bertujuan membangunkan industri pelancongan kalangan usahawan industri kecil dan sederhana agar ia dapat menyumbang kepada pendapatan negara.

Sementara itu Tabung Pelancongan yang diletakkan di bawah Bank Pembangunan pula kerajaan memperuntukkan lebih dari RM500 juta bagi tujuan membantu usahawan yang ingin membangunkan atau mengembangkan produk-produk pelancongan seperti hotel, chalet, resort dan lain-lain kemudahan penginapan.

“Inisiatif-inisiatif ini telah dilihat murni oleh kalangan pengusaha dan usahawan dan kita mahu ia dilihat lebih murni dan telus.” katanya.