Tahanan reman AADK didakwa liwat pemuda satu sel

Tahanan reman AADK didakwa liwat pemuda satu sel
Tertuduh didakwa dengan sengaja telah melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii. - Gambar hiasan
NIBONG TEBAL:
Seorang tahanan reman di Pusat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Tasek Gelugor didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth pada Jumaat  atas tuduhan meliwat seorang pemuda, bulan lalu.
 
Tertuduh, M. Nadarajan, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norhayati Mohammad Yunus.
 
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja telah melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii iaitu dengan memasukkan zakarnya ke dalam dubur seorang lelaki berusia 22 tahun tanpa kerelaan.
 
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sel C2, Pusat Tahanan Reman Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kampung Selamat, Tasek Gelugor kira-kira jam  12.05 pagi pada 25 Oktober lalu.
 
Untuk kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

BERITA BERKAITAN: Bapa liwat anak: Kalau hukuman berasingan, 12,463 tahun
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kamaliza Md. Zain, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
 
Mahkamah kemudiannya menetapkan ikat jamin sebanyak RM15,000 ke atas tertuduh sementara menunggu tarikh sebutan semula pada 6 Disember ini.
 
Tertuduh dan mangsa merupakan tahanan reman di dalam sel yang sama di pusat berkenaan untuk  siasatan kes berkaitan dadah.