Keputusan 10 sampel air di lokasi berbeza yang diambil sepanjang jajaran Sungai Kim Kim, di sini menunjukkan tahap pencemaran yang sangat tinggi.

Malah keputusan itu turut menunjukkan pencemaran berganda daripada tahap sungai yang dikategorikan sebagai sungai paling tercemar atau sungai mati oleh Laporan Kualiti Alam Sekitar 2016.

Pengerusi Biro Aduan Awam Putra, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata 10 sampel air itu diambil pada 23 Julai lalu dan dihantar untuk ujian makmal di makmal kimia yang diiktiraf di Bandar Enstek Negeri Sembilan.

Katanya, keputusan yang diperolehi pada 20 Ogos lalu menunjukkan terdapat pencemaran yang tinggi di lokasi sampel air antaranya di Jalan Pekeliling 11, Taman Pasir Putih, Jalan Keluli 6, Jalan Keluli Zon 11, Jambatan Pulai Sungai Selangkah dan Jambatan Kota Masai.

"Dapatan ujian air ini diukur menerusi lapan parameter termasuk bacaan Keperluan Oksigen Biokimia (BOD) dan Keperluan Oksigen Kimia (COD) dan tahap kekeruhan air 'Total Suspendrd Solids'.

"Tahap BOD paling tinggi sungai mati antara 88-98 dan bacaan 98 telah dikategorikan sebagai sungai sangat tercemar. Tetapi bacaan Sungai Kim Kim (lokasi sampel Jalan Pekeliling 11) ialah 821, berapa kali ganda tercemar?.

"Sedangkan Standard Kementerian pada Laporan Kualiti Alam Sekitar 2016 menunjukkan bacaan BOD 98 sudah sangat tercemar.

"Dan mengikut keputusan sampel yang diambil di lokasi Jalan Keluli 6, BOD memcatat sebanyak 3,384.3 sedangkan bacaan standard bagi air sungai belum dirawat adalah 20.

"Manakala bacaan COD di lokasi sama pula, ia mencatatkan 12,245 berbanding bacaan standard 80",katanya pada sidang media pendedahan dapatan ujial sampel air Sungai Kim Kim di sini, pada Jumaat.

Jelas Mohd Khairul Azam, diharap dengan pendedahan ini, pakar dari kementerian yang berkaitan boleh membuat kajian sekali gus mendedahkan ia kepada umum demi kesejahteraan penduduk Pasir Gudang.

"Kita harap dengan pendedahan ini ada pakar dari kementerian datang dan menafikan data ini.

"Saya berharap dapatan ini tidak benar tetapi kita hantar data ini di makmal yang sahih dan dibuat oleh o
Pakar kimia yang diiktiraf jadi buktikan data ini salah",katanya yang menyerahkan dapatan ujian sampel itu kepada Timbalan Pengerusi Badan Bertindak Penduduk Isu Pencemaran Alam Pasir Gudang, Mohd Rafee Abdullah.