Selepas lebih 11 bulan dibenarkan beroperasi, kilang memproses nadir bumi, Lynas Advanced Materials Plant ( LAMP) di Gebeng disahkan mengeluarkan tahap radiasi yang dibenarkan mengikut piawaian tempatan dan antarabangsa.

Naib Presiden dan Pengarah Urusan Lynas Malaysia, Datuk Mashal Ahmad berkata, bacaan radiasi di kilang dan kawasan sekitarnya telah diluluskan oleh perunding antarabangsa dan sedang dipaparkan di kilang tersebut dan secara dalam talian.

"Kami juga mengalu-alukan orang ramai untuk melawat kemudahan kami supaya mereka dapat melihat dan mendapatkan maklumat yang tepat bahawa LAMP adalah selamat untuk pekerja, rakyat dan alam sekitar," katanya kepada pemberita selepas lawatan khas 80 pegawai kesihatan ke kilang itu pada hari Khamis.

Mashal berkata, adalah penting bahawa orang ramai dan pakar-pakar kesihatan untuk melawat LAMP kerana ia akan memudahkan mereka untuk menganalisis dan memahami operasi di kemudahan pemprosesan nadir bumi itu, yang dilakukan mengikut peraturan keselamatan tempatan dan antarabangsa.

Katanya sehingga suku kedua tahun ini, kilang itu telah memproses sebanyak 144 tan nadir bumi dengan 117 tan telah dieksport.

Mashal berkata LAMP juga beroperasi di bawah tekanan atmosfera dan suhu persekitaran malah bahan-bahan mentah yang digunakan mempunyai radioaktif yang sangat rendah.

Dalam pada itu, Pegawai Kesihatan Daerah Barat Daya, Pulau Pinang, Dr Mohamed Iqbal Hamzah yang mengikuti lawatan itu berkata, maklumat yang diterima semasa lawatan itu membolehkan mereka memahami dengan lebih mendalam bahawa operasi LAMP tidak memudaratkan rakyat dan alam sekitar.

Beliau berkata penjelasan dan data yang diberikan oleh Lynas menunjukkan bahawa air yang digunakan oleh penduduk di kawasan sekitar juga tidak terjejas oleh operasi LAMP.

"Saya yakin bahawa produk yang dihasilkan LAMP tidak akan menjejaskan kesihatan awam.

"Lynas juga perlu mengadakan siri jelajah untuk memberi maklumat yang tepat kepada rakyat supaya mereka akan mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai operasi LAMP ," katanya.