Golongan pekerja di negara ini, baik daripada sektor kerajaan mahupun swasta, sedang mengalami tekanan hidup yang agak tinggi, ekoran pelbagai faktor sekeliling seperti kos sara hidup meningkat, masalah sosial dan sebagainya, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda.

Katanya lagi, sekiranya tiada intervensi berpatutan dilakukan, dikhuatiri ia akan mengakibatkan masalah yang lebih serius, contohnya tragedi yang berlaku di luar negara, di mana seorang majikan ditikam sampai mati oleh pekerjanya, ekoran tidak meluluskan permohonan cuti pekerja tersebut.

Menurut Azih, tahap 'stress' pekerja kita sangat tinggi - Gambar fail

“Dalam satu persidangan berkaitan psikologi pekerja baru-baru ini, didapati jutaan pekerja di negara ini mengalami tahap stres yang tinggi ekoran bebanan kerja yang tidak terkawal.

“Bila dah stres, dia akan timbulkan masalah lain seperti stroke (angin ahmar), strained life, marah-marah dengan keluarga, tak baik dengan anak, serta kemurungan melampau,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Beliau diminta mengulas mengenai kejadian yang berlaku di Dubai, Emiriah Arab Bersatu baru-baru ini di mana seorang juruteknik warga Pakistan berusia 25 tahun warga menikam penyelianya hingga mati hanya kerana permohonan cuti tidak diluluskan.

BACA: Gara-gara cuti tak lulus, pekerja tikam bos sampai mati

Saksi polis di lokasi kejadian berkata suspek dipercayai membunuh bosnya disebabkan konflik tempat kerja dan kemudahan penginapan.

Mengulas lanjut, Azih berkata, kesemua pihak, terutamanya majikan dan kerajaan, harus melihat kaedah yang bersesuaian, bukan sahaja untuk meningkatkan prestasi dan produktiviti pekerja, tetapi juga isu-isu seperti tahap kesihatan dan permasalahan peribadi yang melingkari golongan itu.

“Kalau boleh kita nak lihat, sekurang-kurangnya sehari dalam sebulan, di mana majikan akan meluangkan masa bersama pekerja, mendengar pandangan dan permasalahan mereka. Supaya wujud semangat muhibbah di antara satu sama lain,” katanya lagi.

Bagi Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor pula, isu antara majikan dan pekerja juga kadang-kala unik dan sensitif ekoran wujudnya faktor-faktor seperti latar belakang kaum, budaya dan agama yang berbeza.

Beliau berkata, seeloknya kerajaan menjadi penggerak kepada kempen mewujudkan perasaan hormat-menghormati, kekeluargaan dan sebagainya di antara majikan dan pekerja.

Tegas Abdul Halim, jika tidak dikawal tahap stres pekerja Malaysia, mereka mungkin menjadi 'lunatik'. - Gambar fail

Tegasnya lagi, perkara ini amat penting kerana komunikasi yang kurang mesra di antara kedua-dua pihak hanya akan menimbulkan konflik, salah faham, dan jika tidak dibendung sepenuhnya, tragedi Dubai itu mungkin akan terjadi di negara ini.

Stress atau depress ini berlaku, bukan hanya boleh sebabkan orang itu ambil tindakan drastik, tapi boleh jadi lunatik,” katanya.