Keputusan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) menyaksikan sejarah baharu terlakar apabila Pakatan Harapan (Harapan) berjaya memperoleh majoriti mudah melalui kemenangan di 113 kerusi Parlimen.

Ia sekaligus membolehkan Harapan menerajui mandat pemerintahan negara buat pertama kali selepas 60 tahun diperintah Barisan Nasional.

Manakala, hasrat BN untuk mengekalkan pentadbiran negara tidak kesampaian apabila hanya mampu menang di 79 kerusi Parlimen.

Sementara itu, Pas mendapat 18 kerusi Parlimen, Warisan (8), Bebas (3) dan Parti Solidariti Tanah Airku (1).

Keputusan diumumkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah pada jam 4.48 pagi ini.

Selain mengekalkan Pulau Pinang dan Selangor, Harapan juga menang bergaya apabila berjaya menakluk Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Kedah.

Manakala, BN hanya berjaya mengekalkan tiga buah negeri iaitu Pahang, Perlis dan Sarawak.

Pas pula membuat kejutan apabila kembali menawan kembali Terengganu selain mengekalkan penguasaan di Kelantan.

Bagi Sabah, dijangka Harapan turut menguasai negeri itu sekiranya Warisan yang mendapat 21 kerusi Dun, PKR (2), DAP (6) dan Parti Solidariti Tanah Airku (2) bergabung bagi membentuk sebuah kerajaan negeri.

Pengerusi Harapan yang juga bakal Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad menang di kerusi Parlimen Langkawi, manakala Presiden Harapan yang juga calon Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menang kerusi Parlimen Pandan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak memenangi kerusi Parlimen Pekan, sementara Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengekalkan kerusi Parlimen Bagan Datuk.