Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berkuatkuasa 11 Mei 2020.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu menggantikan bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim yang telah meletakkan jawatan pada 7 Mei lepas.

“Lembaga Pengarah dan pihak pengurusan Kumpulan Prasarana mempunyai keyakinan penuh atas kewibawaan dan ketokohan Datuk Seri Tajuddin untuk memacu program transformasi sistem pengangkutan awam negara dan memartabatkan perkhidmatan pengangkutan awam Malaysia yang berkelas dunia, yang diamanahkan kepada kami.

“Pihak Lembaga Pengarah, pengurusan kanan dan seluruh warga kerja Kumpulan Prasarana juga ingin merakamkan ucapan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Zaharah atas segala khidmat beliau sepanjang perkhidmatan beliau sebagai Pengerusi Kumpulan Prasarana,” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Prasarana hari ini.

Berasal dari Kampung Gajah, Perak, Tajuddin adalah graduan Universiti Malaya dengan Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) pada tahun 1972 dan memulakan karier dalam perkhidmatan awam pada tahun 1972.

Setahun selepas berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Jabatan Perkhidmatan Awam, beliau beralih kepada sektor swasta yang lebih mencabar untuk bekerja sebagai Pengurus Jualan di Syarikat Cycle & Carriage (M) Sdn Bhd, pemegang franchise dan pengedar tunggal kereta buatan Mitsubishi Motors.

Dua tahun bekerja sebagai Pengurus Jualan, beliau dinaikkan pangkat kepada Pengurus Pemasaran pada tahun 1975.

Berbekalkan pengalaman bekerja dengan Cycle & Carriage itu, beliau mengambil langkah berani sebagai pengasas dan peneraju sebuah kumpulan automotif yang terlibat dalam pengimportan, pemasangan serta pengedaran kereta-kereta penumpang dan komersial Mitsubishi dan Isuzu. Beliau merupakan Pengarah Urusan Kumpulan kepada syarikat United Assembly (Services) Sdn Bhd, United Straits Fuso Sdn Bhd, Automotive Corporation ( M ) Sdn Bhd dan United Cycles Sdn Bhd.

Di samping industri automotif, Tajuddin juga terlibat dalam pembangunan hartanah dan Pendidikan tinggi swasta sebagai pengusaha dan Pengerusi TAJ International College di Ipoh, Perak.

Beliau turut memegang pelbagai jawatan penting dalam sektor korporat iatu :

• Pengarah Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Perak (2005 – 2008)
• Pengarah Asia Brands Corporation Berhad (2006 – 2007)
• Pengarah Maju Perak Holdings Berhad (2009 – 2011)
• Pengerusi FELCRA Berhad (2008 – 2013).

Tajuddin juga adalah seorang tokoh politik yang telah memegang jawatan di pelbagai peringkat sejak tahun 1975 sehingga sekarang :

• Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Salak (1982 – 1988)
• Ahli Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (1986 – 1988)
• Ketua Bahagian UMNO Pasir Salak (2004 – sekarang)
• Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia (2009 – sekarang).

Beliau juga telah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Kampung Gajah, Perak (2004 – 2008), Ahli Parlimen Pasir Salak (2008 – sekarang), dan Timbalan Menteri Pertanian dan Asas Tani antara 2013 dan 2018.