Masyarakat diminta tidak mensensasi atau mempopularkan sebarang video yang tidak bermanfaat termasuk perilaku sesetengah individu lelaki yang berlagak seperti wanita di media sosial.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat kerana ia tidak membantu dari segi pembangunan pemikiran dan jati diri.

“Pandangan saya, kita banyak lagi perkara yang lebih mustahak dalam agenda negara, media massa pun tidak perlu mensensasikan isu-isu yang tidak boleh menbangunkan pemikiran rakyat dan juga jati diri ummah.

“Saya harap, rakyat juga dididik supaya parodi-parodi atau video-video yang diviralkan yang tidak memberi makna kepada jati diri kita atau pembinaan tamadun, tidak perlu kita mempopularkannnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Konvensyen Pendidikan Islam Kelantan anjuran Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Konvensyen berkenaan dirasmikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed di sini, pagi tadi.

Media sebelum ini melaporkan, agensi berkaitan kerajaan disaran mengambil tindakan undang-undang terhadap perilaku sesetengah individu lelaki popular di laman sosial yang berlagak seperti wanita sebagai usaha membendung penularan sikap seperti ini.

Individu yang digelar 'instafamous' ini rata-rata adalah lelaki yang dilihat membuat pelbagai video parodi mengenakan pakaian wanita dan memuatnaik aktiviti mereka di Instagram bagi tujuan mempromosi produk, menyindir atau meniru gaya melucukan.